Khamis, 10 Februari 2022 | 9:35pm
Sabah mencatat kluster pendidikan dan tempat kerja. - Foto NSTP/MOHD ADAM ARININ
Sabah mencatat kluster pendidikan dan tempat kerja. - Foto NSTP/MOHD ADAM ARININ

Sabah kesan tiga lagi kluster pendidikan

KOTA KINABALU: Sabah mencatatkan tiga lagi kluster COVID-19 institusi pendidikan membabitkan dua daerah, iaitu Kunak dan Kota Kinabalu.

Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata sebanyak dua kluster, iaitu Kluster Jalan Getah dan Kluster Madai 2 dikesan di Kunak, manakala Kluster Jalan Gudon dikesan di Kota Kinabalu.

Katanya, Kluster Jalan Getah membabitkan sebuah sekolah, di sini dengan kes indeks seorang pelajar perempuan yang dikesan positif COVID-19 pada 7 Februari, selepas bergejala sejak 6 Februari.

Beliau berkata, saringan terhadap kontak rapat terdiri dari rakan satu asrama berjaya mengesan 19 lagi kes positif.

Selain itu, Kluster Madai 2 yang juga dikesan di Kunak membabitkan SMK Madai, iaitu kes indeks pelajar perempuan, 13, disahkan positif COVID-19 pada 3 Februari selepas bergejala sejak 1 Februari.

"Saringan kontak rapat turut dibuat ke atas rakan satu asrama mendapati 39 lagi kes positif menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 40 kes," katanya.

Mengulas mengenai Kluster Jalan Gudon pula, Masidi menjelaskan kluster membabitkan SMK Bandar Raya Kota Kinabalu.

"Kes indeks seorang pelajar lelaki, 17, yang bergejala sejak 4 Februari didapati positif COVID-19 dalam saringan kendiri, sebelum mengesahkannya menerusi ujian RT- PCR pada 7 Februari.

"Saringan kontak rapat yang dijalankan terhadap 143 individu berjaya mengesan 21 lagi kes positif menjadikan jumlah kumulatif seramai 22 kes, termasuk lima kes baharu yang dilaporkan hari ini," katanya, hari ini.

Masidi berkata, semua kes dalam ketiga-tiga kluster terbabit adalah dalam kategori ringan, diasingkan dan diberikan rawatan sewajarnya.

Selain kluster pendidikan, katanya, ada juga kluster tempat kerja, Kluster Sutera 2 di Kota Kinabalu membabitkan sebuah tapak pembinaan, di sini.

"Kes indeks seorang lelaki bukan warganegara, 33, iaitu kakitangan pengurusan yang dikesan positif COVID-19 pada 4 Februari di klinik swasta.

"Saringan terhadap 278 kontak rapat kemudian mendapati 57 lagi kes membabitkan pekerja di tapak berkenaan, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 58 kes, termasuk 50 kes baharu hari ini," katanya.

Masidi berkata, sebanyak 2,969 kes COVID-19 di Sabah yang direkodkan hari ini dan tiada kes kematian.

Berita Harian X