Rabu, 9 Februari 2022 | 5:38pm
Murid sekolah menerima suntikan vaksin COVID-19 di Melaka, hari ini. - Foto hiasan NSTP/SYAFEEQ AHMAD
Murid sekolah menerima suntikan vaksin COVID-19 di Melaka, hari ini. - Foto hiasan NSTP/SYAFEEQ AHMAD

Lebih 21,000 daftar PICKids Negeri Sembilan

SEREMBAN: Seramai 21,075 kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun di Negeri Sembilan sudah mendaftar untuk menerima suntikan menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kanak-Kanak (PICKids).

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata daripada jumlah itu, seramai 531 kanak-kanak menerima dos pertama pelalian semalam.

Katanya, jumlah keseluruhan kanak-kanak dalam usia berkenaan di negeri itu seramai 117,200 orang.

"Tiada laporan masalah kesihatan diterima membabitkan kanak-kanak. Saya melihat mereka sihat dan berada dalam keadaan baik.

"Saya memahami terdapat segelintir ibu bapa dan penjaga yang masih bimbang untuk membenarkan anak-anak mereka divaksin," katanya selepas Mesyuarat Mingguan EXCO di sini, hari ini.

PICKids yang bermula Khamis lalu akan diberikan kepada kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun yang didaftarkan oleh ibu bapa mereka secara sukarela.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dilaporkan berkata, vaksin jenis Comirnaty oleh Pfizer akan diberikan kepada kanak-kanak berkenaan dengan isipadu satu per tiga daripada dos dewasa.

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, terserah kepada kebijaksanaan ibu bapa menilai sama ada untuk mengambil pelalian untuk anak masing-masing atau sebaliknya.

Berita Harian X