Rabu, 9 Februari 2022 | 4:05pm

Nelayan makan semilang sebelum hilang

ALOR SETAR: "Suami teringin sangat nak makan asam pedas ikan semilang masak nanas dan minta saya masak tengah hari kelmarin.

"Saya sempat tunaikan permintaannya tetapi pelik apabila dia minta saya rakam gambarnya buat kenangan. Mungkin esok dia tiada," kata Siti Kholijah Mohd Rosli, 40.

Siti Kholijah berkata, suaminya, Mohd Ayob Jalaluddin, 39, juga berpesan kepadanya supaya menjaga empat anak mereka dengan baik dan memberi pelajaran yang sempurna, jika dia meninggal dunia.

Katanya, dia sangka suaminya hanya bergurau, namun terkejut apabila dimaklumkan suaminya hilang, selepas terjatuh ke dalam laut akibat bot yang dinaiki bersama dua rakannya dipukul ombak kuat dekat Kuala Kedah, semalam.

"Saya hanya mengetahui suami jatuh laut selepas dimaklumkan anak saudara pada jam 5.30 pagi semalam dan saya hampir pengsan apabila mendengar berita itu.

"Sampai sekarang, jasadnya masih belum ditemui. Kami sekeluarga turut melakukan bacaan Yassin serta solat hajat dengan harapan suami ditemui," katanya.

Siti Kholijah berkata, pada hari kejadian dia tidak sedap hati dan meminta suaminya supaya tidak turun ke laut pada malam kejadian.

Katanya, Mohd Ayob keluar dari rumah mereka di Kuala Sala pada jam 8 malam kelmarin, bersama seorang rakannya dan tekong.

"Saya beritahu dia jangan turun ke laut malam tu sebab ketika itu hujan dan tak sedap hati.

"Selama ini, saya hanya bergantung harap pada suami. Dia baru dua bulan bekerja sebagai nelayan untuk menyara empat anak kami, Adam Hakimi Mohd Ayob, 16, Nur Balqis, 12, Muhammad Shahrul Aiman, 10, dan Muhammad Rayyan Naufal, 7," katanya.

Timbalan Pengarah Zon (Operasi) Zon Maritim Kuala Kedah, Leftenan Maritim Zool Hilmi Mohd Nadzir, berkata sehingga jam 3 petang hari ini, tiada sebarang petunjuk baharu ditemui di lokasi pencarian.

Zool Hilmi (kiri) bersama isteri dan empat anak nelayan yang menunggu operasi SAR. - NSTP/Zuliaty Zulkiffli
Zool Hilmi (kiri) bersama isteri dan empat anak nelayan yang menunggu operasi SAR. - NSTP/Zuliaty Zulkiffli
Berita Harian X