Isnin, 31 Januari 2022 | 11:17am
 Gambar hiasan
Gambar hiasan

Bacaan Yasin, solat hajat khas sempena Hari Wilayah

PUTRAJAYA: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) akan menganjurkan Majlis Bacaan Yasin dan Solat Hajat Khas di Masjid Jamek Kampung Baru, Kuala Lumpur secara serentak di seluruh masjid, surau Jumaat dan surau di Wilayah Persekutuan selepas solat Maghrib esok sempena sambutan Hari Wilayah 2022.

Dalam kenyataan medianya hari ini, JAWI berkata, pihaknya akan mengadakan beberapa program membabitkan pelajar di institusi pendidikan Islam di bawah JAWI seperti munajat, pertandingan mewarna, deklamasi sajak dan penulisan jawi serta khat.

Katanya, program berkenaan akan diteruskan pada setiap Khamis sepanjang Februari ini.

Satu Forum Ehwal Islam Khas bertajuk 'Islam Dihayati, Wilayah Persekutuan Diberkati' pula akan diadakan pada 10 Februari selepas solat Maghrib di Masjid Wilayah Persekutuan yang menampilkan beberapa penceramah tersohor tanah air.

"Forum Ehwal Islam turut diadakan di empat masjid di Wilayah Persekutuan iaitu di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan bermula jam 8 malam 12 Februari dan disiarkan secara langsung di Facebook rasmi JAWI.

"Selain itu, Khutbah Jumaat Khas bertemakan Keluarga Malaysia akan dibacakan di semua masjid dan surau Jumaat di Wilayah Persekutuan sepanjang Februari bermula Jumaat ini.

"JAWI amat mengalu-alukan penyertaan masyarakat Islam terutama di Wilayah Persekutuan untuk menyertai semua program dianjurkan selaras dengan norma baharu," katanya.

JAWI berkata, umat Islam juga diminta berdoa dan bermunajat semoga Allah SWT mengurniakan kesejahteraan dan kemakmuran serta memelihara warga Wilayah Persekutuan dan Malaysia dari musibah dan wabak penyakit yang melanda.

Berita Harian X