Jumaat, 28 Januari 2022 | 6:43pm

Tindakan tegas pengguna jalan raya langgar undang-undang

SEREMBAN: Polis trafik kontinjen Negeri Sembilan akan mengambil tindakan tegas terhadap pengguna jalan raya yang melanggar undang-undang sepanjang Ops Selamat 17, yang diadakan sempena cuti Tahun Baru Cina, bermula hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, Superintendan Shafiei Muhammad, berkata fokus utama diberikan terhadap beberapa kesalahan yang sering dilakukan pengguna.

Katanya, antaranya kesalahan melanggar lampu isyarat, membawa kenderaan melebihi had laju, memotong Q dan melalui lorong kecemasan di lebuh raya.

"Tindakan ini diambil bagi mengurangkan kadar kemalangan maut di samping melancarkan aliran trafik di semua laluan termasuk di lebuh raya.

"Kami telah menubuhkan beberapa pasukan di IPK dan di setiap daerah bagi memastikan Ops Selamat berjalan lancar yang bermula hari ini," katanya pada sidang media mengenai operasi itu, di persimpangan pintu masuk ke bandar ini, di sini, petang ini.

Anggota polis trafik mengawal lalu lintas di persimpangan Jalan Seremban-Bukit Nenas Sempena Tahun Baharu Cina.- NSTP/Azrul Edham Mohd Aminuddin
Anggota polis trafik mengawal lalu lintas di persimpangan Jalan Seremban-Bukit Nenas Sempena Tahun Baharu Cina.- NSTP/Azrul Edham Mohd Aminuddin

Beliau berkata, pihaknya menjangkakan kadar bilangan dan aliran trafik yang keluar masuk ke negeri ini akan meningkat sekitar 20 peratus sempena cuti panjang Tahun Baharu Cina daripada hari biasa iaitu melebihi satu juta kenderaan.

Katanya, mengikut perbandingan pada Ops Selamat 16 sempena TBC pada 2020, Negeri Sembilan merekodkan kadar kemalangan jalan raya sebanyak 1,336 dengan 12 kematian.

"Berdasarkan ini, kereta mencatatkan penyumbang tertinggi kadar kemalangan iaitu 1,307 dan selebihnya membabitkan penunggang motosikal dengan punca utama adalah kecuaian sendiri.

"Kami tidak mahu kadar ini terus meningkat pada TBC tahun ini dan tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas terpaksa dilaksanakan," katanya.

Shafiei berkata, pihaknya sudah mengenal pasti sebanyak 19 lokasi panas (hotspot) dan hitam (blackspot) membabitkan semua daerah, susulan kerap berlaku kesesakan serta kemalangan di kawasan berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Negeri Sembilan, Superitendan Shafiei Muhammad (dua dari kiri) ketika membuat pemantauan pergerakan kenderaan di persimpangan Jalan Seremban-Bukit Nenas pada Op Selamat 17 Sempena Tahun Baharu Cina.- Foto NSTP/Azrul Edham Mohd Aminuddin

Berita Harian X