Jumaat, 28 Januari 2022 | 9:14am
Keadaan kebun Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Inderapura yang ditenggelami banjir akhur tahun lalu. - Foto MOHD RAFI MAMAT
Keadaan kebun Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Inderapura yang ditenggelami banjir akhur tahun lalu. - Foto MOHD RAFI MAMAT

2,490 petani di Pahang rugi lebih RM13 juta

KUANTAN: Kerugian lebih RM13.4 juta dialami dalam sektor pertanian tanaman agro makanan di Pahang akibat bencana banjir luar biasa bulan lalu.

Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Pahang, Muhd Rizal Baharom berkata, seramai 2,490 petani mengalami kerugian apabila tanaman mereka rosak serta musnah selepas ditenggelami banjir dalam masa antara dua hingga lima hari dan di beberapa kawasan berlaku air termenung.

Beliau berkata, kerugian lebih RM8.4 juta dicatat membabitkan projek tanaman padi dengan luas keseluruhan 4,694.66 hektar musnah ditenggelami banjir iaitu 4,518.50 hektar di Pekan, Rompin (120 hektar) dan Maran (56.66 hektar).

Katanya, seramai 2,043 pesawah menanggung kerugian di tiga daerah berkenaan membabitkan 1,968 di Pekan daripada beberapa kawasan sawah seperti Paya Pahang Tua, Paya Ganchung dan Paya Merchong dan Paya Serandu, manakala di Rompin (55 orang) dan Maran seramai 20 orang.

"Tanaman agro makanan selain padi yang turut musnah seperti sayuran dan buah-buahan membabitkan kawasan seluas 457.11 hektar dengan Pekan mencatat jumlah seluas 158 hektar diikuti Kuantan (141 hektar) dan Jerantut (31 hektar) membabitkan seramai 447 petani dengan kerugian lebih RM5 juta," katanya dihubungi di sini semalam.

Muhd Rizal berkata, ramai pekebun yang mengusahakan pelbagai jenis tanaman sayur di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) yang dibangunkan jabatan itu turut mengalami kerugian apabila kawasan kebun mereka ditenggelami banjir.

Katanya, TKPM Inderapura Jalan Kuantan-Pekan, di sini antara yang ditenggelami banjir. Pekebun di situ mengusahakan pelbagai jenis tanaman sayur menggunakan kaedah fertigasi atau gantung.

"Selain pokok mati terdapat juga peralatan dan jentera pertanian milik pekebun musnah serta rosak apabila ditenggelami banjir, arus air yang deras turut memusnahkan sistem paip air menyiram yang digunakan.

"Kita berharap kemusnahan tanaman dan kerugian yang dialami tidak mematahkan semangat golongan pesawah dan pekebun untuk memulakan semula projek pertanian yang diusahakan," katanya.

Berita Harian X