Selasa, 25 Januari 2022 | 12:33pm

Warga Bangladesh kena denda, penjara rasuah polis

IPOH: Hanya kerana RM150, seorang pekerja kilang warganegara Bangladesh dikenakan hukuman denda RM10,000 atau tiga bulan penjara jika gagal bayar atas pertuduhan memberi rasuah kepada pegawai polis Mac tahun lalu.

Tertuduh, Hossain Md Shakib, 31, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa dalam bahasa Bangladesh di hadapan Hakim M Bakri Abd Majid di Mahkamah Sesyen Ipoh, di sini, hari ini.

Mengikut kertas pertuduhan, Hossain didakwa secara rasuah memberi suapan wang tunai RM150 kepada inspektor polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah, sebagai balasan melepaskan dirinya dan dua rakan senegara daripada diambil tindakan di bawah Seksyen 6 Akta Imigresen 1959/63, kerana gagal kemukakan dokumen perjalanan yang sah.

Tertuduh melakukan kesalahan itu sebelum jalan keluar Plaza Tol Sungkai pada jam kira-kira 2.50 petang, 10 Mac 2021.

Mengikut pertuduhan, Hossain didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 214 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Maziyah Mansor, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Ketika prosiding, tertuduh yang bekerja di sebuah kilang batu tunduk sambil menangis ketika membuat rayuan.

Hossain merayu agar hukuman diringankan kerana dia yang bekerja di negara ini sejak empat tahun hanya berpendapatan kira-kira RM1,000 sebulan, selain sudah berkahwin serta perlu menanggung dua anak dan lima ahli keluarga lain yang berada di negara asal.

Mahkamah kemudiannya menetapkan denda RM10,000 atau tiga bulan penjara jika gagal membayar.

Hossain (tengah) dibawa ke Mahkamah Sesyen Ipoh./ NSTP BALQIS JAZIMAH ZAHARI
Hossain (tengah) dibawa ke Mahkamah Sesyen Ipoh./ NSTP BALQIS JAZIMAH ZAHARI
Berita Harian X