Ahad, 23 Januari 2022 | 8:12pm

Pengantin baharu terima Anugerah Pelajaran Diraja UniSZA

KUALA NERUS: Seorang graduan yang baru melangsungkan perkahwinan, semalam, meraikan kegembiraan berganda apabila dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pelajaran Diraja pada Majlis Konvokesyen Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), di sini, hari ini.

Noor Syafiqah Azim Mohd Zainurin, 26, menyifatkan anugerah tidak diduga itu sebagai hadiah perkahwinan beliau dengan rakan sekuliah dalam program Ijazah Sarjana Muda Informatik dan Komputeran, Izran Iskandar Rosli, 26.

Pengantin baharu itu mencatat pencapaian cemerlang dengan Purata Nilai Gred Kumulatif 3.85, manakala suaminya akan turut menerima skrol ijazah sama pada sesi majlis konvokesyen, Selasa ini.

"Saya dan suami selamat diijabkabulkan pada majlis yang berlangsung di Semenyih, Selangor, semalam.

"Selepas majlis selesai, kami bergegas bertolak untuk menghadiri majlis konvokesyen ini dengan ditemani keluarga sebelum tiba kira-kira jam 6 pagi tadi," katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Noor Syafiqah Azim berkata, beliau bersama suami tidak menyangka tarikh pernikahan mereka akan berselang hanya sehari dengan majlis konvokesyen itu.

Malah disebabkan terlalu sibuk menguruskan hal perkahwinan, katanya, beliau juga tidak sempat menyediakan pakaian khusus sempena majlis konvokesyen, sebaliknya hanya mengenakan busana ketika bertunang dulu.

Meskipun kepenatan, Noor Syafiqah Azim tetap bersyukur dan gembira dengan kenangan detik manis dalam hidupnya itu.

Noor Syafiqah Azim berkongsi kegembiraan bersama suaminya selepas menerima Anugerah Pelajaran Diraja pada Majlis Konvokesyen UniSZA, hari ini. - NSTP/Ghazali Kori
Noor Syafiqah Azim berkongsi kegembiraan bersama suaminya selepas menerima Anugerah Pelajaran Diraja pada Majlis Konvokesyen UniSZA, hari ini. - NSTP/Ghazali Kori
Berita Harian X