Jumaat, 21 Januari 2022 | 9:46pm
Sebuah syarikat didenda RM60,000 oleh Mahkamah Sesyen Klang hari ini selepas didapati membina kilang serta menjalankan kerja mengitar sisa pepejal plastik terpakai tanpa kelulusan JAS Selangor. FOTO IHSAN JAS
Sebuah syarikat didenda RM60,000 oleh Mahkamah Sesyen Klang hari ini selepas didapati membina kilang serta menjalankan kerja mengitar sisa pepejal plastik terpakai tanpa kelulusan JAS Selangor. FOTO IHSAN JAS

Syarikat kitar sisa pepejal plastik didenda RM60,000

KLANG: Sebuah syarikat didenda RM60,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati membina kilang serta melakukan aktiviti mengitar sisa pepejal plastik terpakai tanpa kelulusan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor.

Pengarah, Nor Aziah Jaafar berkata, syarikat berkenaan didakwa menjalankan aktiviti terbabit tanpa mengemukakan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) yang perlu diluluskan oleh jabatan terbabit.

Katanya, syarikat itu juga didapati gagal mengemukakan pemberitahuan bertulis kepada JAS mengenai pemasangan peralatan yang menjadi punca pencemaran udara.

"Hakim Razali Ariffin hari ini menjatuhkan hukuman itu selepas pengarah syarikat berkenaan mengaku bersalah terhadap pertuduhan dikenakan kepadanya.

"Syarikat berkenaan dituduh melakukan dua kesalahan itu pada 11 Ogos 2020 di sebuah premis di Taman Perindustrian Pulau Indah, Pelabuhan Klang.

"Syarikat itu dituduh mengikut Seksyen 34A(2) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Peraturan 5(1)(b), Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014 akta yang sama," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Nor Aziah berkata, pembinaan kilang dan menjalankan aktiviti mengitar sisa pepejal plastik perlu mendapat kelulusan JAS sebelum operasinya boleh dimulakan.

Berita Harian X