Isnin, 17 Januari 2022 | 9:24am
Ramli (kiri) dan Mohd Safwan menunjukkan kesan tapak kaki harimau yang dijumpai. - NSTP/ROSLI ILHAM
Ramli (kiri) dan Mohd Safwan menunjukkan kesan tapak kaki harimau yang dijumpai. - NSTP/ROSLI ILHAM

Lembu ternakan korban 'Pak Belang'

CHUKAI: "Sepanjang tempoh menternak lembu di sini sejak kira-kira empat tahun lalu, inilah kali pertama kejadian sebegini berlaku dan ia cukup membimbangkan."

Demikian dikongsikan Ramli Mohamad, 65, dari Kampung Chabang, Kerteh, selepas seekor daripada 25 lembu ternakannya ditemui mati dipercayai akibat dibaham harimau.

Katanya, beliau menyedari lembu itu hilang ketika mahu memberi makanan kepada ternakannya kira-kira jam 3 petang Jumaat lalu.

Susulan itu, Ramli berkata, beliau bersama menantu, Mohd Safwan Mat Pilus, 35, melakukan pencarian di sekitar kebun sebelum menemui bangkai lembu berusia tiga tahun itu dalam kawasan berparit yang terletak tidak jauh dari kandang.

"Ketika ditemui, badan dan kepala lembu itu berada dalam keadaan terpisah. Hasil pemeriksaan, didapati ada kesan gigitan di bahagian lehernya.

"Kami turut menemui kesan tapak kaki harimau di sekitar kawasan itu.

"Sebelum ini, saya tidak pernah dengar ada lembu peliharaan penduduk lain menjadi mangsa. Oleh itu, kejadian ini membimbangkan kami semua," katanya.

Mohd Safwan pula memaklumkan susulan kejadian itu, beliau kini sangat bimbang untuk ke kandang memberi makan lembu ternakan bapa mentuanya.

"Sebelum ini, saya biasa ke sana sendirian untuk memberi makan ternakan. Namun apabila kejadian itu berlaku, saya mulai takut untuk pergi sendirian lagi.

"Saya juga berasa pelik, harimau masuk hingga ke sini sedangkan hutan tebal terletak jauh dari kandang ini," katanya.

Beliau berkata, perkara itu sudah dimaklumkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (PERHILITAN) untuk tindakan lanjut.

Sementara itu Pengarah PERHILITAN Terengganu, Loo Kean Seong, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung insiden berkenaan.

Berikutan itu, beliau berkata, pihaknya melakukan siasatan dan pemantauan di kawasan terbabit, serta menasihati penternak supaya berwaspada bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

"Orang ramai diminta menjauhi kawasan itu dan tidak mengganggu sekiranya terserempak dengan harimau, sebaliknya segera menghubungi pihak kami," katanya.

Berita Harian X