Ahad, 16 Januari 2022 | 1:18pm
Aryn berusia tujuh tahun teruja berpeluang mendekati replika set penggambaran yang digunakan dalam filem Hantu Kak Limah di perkarangan Sarang Art Hub, dekat sini. - Foto NSTP/Rosman Shamsudin
Aryn berusia tujuh tahun teruja berpeluang mendekati replika set penggambaran yang digunakan dalam filem Hantu Kak Limah di perkarangan Sarang Art Hub, dekat sini. - Foto NSTP/Rosman Shamsudin

Replika set penggambaran Hantu Kak Limah jadi tarikan

TANJUNG MALIM: Set penggambaran yang digunakan dalam filem komedi seram, Hantu Kak Limah arahan Allahyarham Mamat Khalid sentiasa mencuri tumpuan orang ramai terutama kanak-kanak di perkarangan Sarang Art Hub, dekat sini.

Babak awal filem komedi seram berkenaan yang ditayangkan pada tahun 2018 menampilkan penyanyi dan pelakon, Datuk Awie yang seolah-olah menunggang motosikal berkuasa tinggi tetapi sebenarnya sedang mengayuh perahu di sungai antara terus menjadi ingatan peminat filem itu.

Kini, perahu dan bahagian depan motosikal terbabit dipamerkan di perkarangan Sarang Art Hub sebagai replika bagi mengenang filem komedi seram pecah panggung dalam industri perfileman dan hiburan negara.

Jadi tidak hairanlah, orang ramai terutama kanak-kanak akan bergambar atau berswafoto di replika berkenaan bagi meniru gaya selamba Awie dalam filem terbabit.

Pengunjung Sarang Art Hub, Intan Efazila Md Yusop, 43, berkata replika berkenaan sentiasa menjadi tarikan pengunjung terutama ketika mengunjungi kafe Sarang Art Hub.

Menurutnya, filem komedi seram berkenaan berjaya menambat hati peminat filem tempatan menyebabkan sehingga hari ini masih ditonton terutama kanak-kanak melalui saluran YouTube.

"Filem berkenaan memberi impak besar dalam kalangan peminat filem tempatan menyebabkan filem itu sentiasa di hati peminat.

"Sesiapa yang melihat replika set penggambaran yang digunakan dalam filem berkenaan sudah tentu akan teringat filem komedi seram berkenaan apatah lagi kanak-kanak," katanya.

Kafe berkenaan dibuka mulai jam 3.30 petang sehingga jam 11.00 malam.

Selain itu, pengunjung juga boleh merakamkan gambar atau berswafoto dengan hasil seni dan replika lain yang ditinggalkan oleh Allahyarham sepanjang mengusahakan pusat seni berkenaan.

Beliau berkata, setiap kali mengunjungi kafe berkenaan anaknya pasti akan masuk ke dalam perahu dan cuba menghayati watak yang dibawa oleh Awie dalam filem terbabit.

Katanya, usaha Sarang Art Hub dalam mengetengahkan cabang seni dalam kalangan golongan muda wajar diteruskan bagi memastikan seni yang membentuk budaya dan bangsa tidak lenyap akibat perubahan zaman.

Berita Harian X