Ahad, 16 Januari 2022 | 10:24am
Zainuddin Omar, 62, menunjukkan durian Musang King dan durian kampung dijual dari rumah kerana gerai jualan di bandar Jerantut tidak mendapat sambutan pembeli. - NSTP/ROSELAN AB MALEK
Zainuddin Omar, 62, menunjukkan durian Musang King dan durian kampung dijual dari rumah kerana gerai jualan di bandar Jerantut tidak mendapat sambutan pembeli. - NSTP/ROSELAN AB MALEK

Durian luar musim tak laku

JERANTUT: Pokok durian di beberapa kampung di daerah ini mula mengeluarkan buah sejak beberapa minggu lalu dan ramai menyangka raja buah yang dijual di luar musim akan mendapat sambutan pembeli.

Namun hakikatnya, permintaan yang diterima menyedihkan sehingga menyebabkan penjual, termasuk Zainuddin Omar, 62, terpaksa menanggung kerugian.

"Sambutan pembeli amat dingin walaupun saya hanya jual durian dengan harga biasa, jadi saya terpaksa tutup gerai di bandar Jerantut. Selepas itu, saya hanya jual dari rumah dan secara dalam talian untuk elak bayar sewa jika menjual di kawasan bandar Jerantut.

"Banyak durian tidak habis dijual, tidak balik modal. Musim durian kali ini dijangka berakhir menjelang Tahun Baharu Cina awal bulan depan," katanya yang berpengalaman menjual durian sejak 30 tahun lalu.

Katanya, keadaan ini mungkin disebabkan ramai masih terkesan dengan pandemik COVID-19 serta banjir besar, baru baru ini dan ada juga memberi alasan menyimpan untuk perbelanjaan persekolahan anak-anak kerana penggal baharu baru bermula awal minggu ini.

Zainuddin berkata, selain hasil kebun sendiri, dia turut membeli durian dari pekebun lain di Kampung Hulu Cheka, Damak dan Sungai Lekok dan turut menjual durian kahwin seperti Musang King, 101, D24 dan berapa jenis lain.

"Bagaimanapun, durian kahwin ada risiko kerana tidak tahan lama, jika tidak habis, ia akan rosak berbanding durian kampung yang boleh dibuat tempoyak.

"Harga jualan durian kahwin antara RM20 hingga RM25 sekilogram, Musang King gred B antara RM30 hingg RM35, Musang King gred A antara RM60 hingga RM80, manakala durian kampung antara RM10 hingga RM15," katanya.

Berita Harian X