Sabtu, 15 Januari 2022 | 12:50pm
Persiapan terakhir pameran pemasangan seni 'Wonders of Wilderness-The Ocean' giat dilakukan di tapak bangunan lama Pejabat Tanah dan Ukur, berhadapan Suria Sabah. - Foto NSTP/Mohd Adam Arinin
Persiapan terakhir pameran pemasangan seni 'Wonders of Wilderness-The Ocean' giat dilakukan di tapak bangunan lama Pejabat Tanah dan Ukur, berhadapan Suria Sabah. - Foto NSTP/Mohd Adam Arinin

Projek seni komuniti akan dilancarkan esok

KOTA KINABALU: Wonders of Wilderness (WOW 1.0) bakal menjadi projek seni komuniti dua dimensi (2D) dan tiga dimensi (3D) digital terbesar pertama di negara ini yang dilaksanakan pelukis tempatan dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KSTI).

Pelukis utama Projek WOW 1.0, Japson Wong, berkata ia adalah usaha pihaknya bersama KSTI untuk membawa seni kreatif ke tahap lebih tinggi di Sabah.

Menurutnya, projek di tapak runtuhan bangunan lama di tengah bandar raya Kota Kinabalu terbabit bukan hanya memaparkan lukisan tetapi juga seni 3D hidupan marin bersaiz sebenar dan persekitaran bawah air, selain elemen seni digital.

"WOW bukan saja membabitkan lukisan tetapi juga arca 3D dan seni digital di keseluruhan tapak, (yang mana berlainan berbanding sebelum ini) Pillars of Sabah yang menumpukan kepada lukisan di tembok dan tiang.

"Kita berharap untuk terus bekerjasama dalam projek seperti ini yang menggabungkan seni kreatif dan pendidikan sains dengan STI dan Pusat Ekonomi Kreatif dan Inovasi Sabah (SCENIC)," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Selain Japson, pelukis utama lain yang terbabit dalam projek itu sejak April tahun lalu ialah Rosmani Sunarjo, selain disokong rakan pelukis seperti Penny Chong, Azlan Dulikab, Cannie Tan, Lim Sheng Haw, Oliver Kah, dan Yahz.

Sementara itu, Pengarah Balai Seni Lukis Sabah, Sara Ahmad, berkata melihat kembali bagaimana COVID-19 telah mencabar kehidupan orang ramai, seni harus bergerak maju sejajar dengan teknologi dan inovasi.

"Balai Seni Lukis Sabah percaya karya seni yang hebat harus memberi manfaat kepada orang ramai. Kami akan terus menyokong bakat tempatan dengan menjemput semua orang untuk melihat dan mengalami seni, kreativiti dan kemanusiaan yang dikongsi melalui Projek WOW," katanya.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Yakub Khan dijadualkan melancarkan projek bernilai RM95,000 itu esok.

Berita Harian X