Sabtu, 15 Januari 2022 | 11:58am
Adam menunjukkan keadaan sungai Ranggon yang tercemar. - Foto NSTP/ROSLI ILHAM
Adam menunjukkan keadaan sungai Ranggon yang tercemar. - Foto NSTP/ROSLI ILHAM

Sungai tercemar jejas hidupan

CHUKAI: Penduduk dan nelayan di kampung Pengkalan Ranggon, Kerteh meminta pihak berkuasa menyelesaikan isu pencemaran sungai yang berlaku sejak sekian lama.

Keadaan itu menyebabkan kira-kira 80 nelayan sungai di situ hilang sumber pencarian mereka kesan daripada pencemaran itu.

Nelayan Adam Abdullah, 69, berkata masalah yang berlaku sejak lima tahun lalu itu menyebabkan pelbagai jenis ikan mati.

Katanya, pencemaran itu menyebabkan air sungai menjadi hitam dan busuk sepanjang masa.

"Sungai ini terdapat banyak ikan seperti ikan kelisa, tapah, siakap, baung, ikan ubi dan udang galah mati, akibat keracunan setiap kali nelayan memeriksa bubu mereka.

"Pencemaran itu dipercayai berlaku akibat daripada pembuangan sisa buangan dari kawasan perindustrian yang terletak tidak jauh dari sungai itu," katanya.

Adam berkata, keadaan lebih teruk pada waktu malam apabila penduduk berhampiran sungai terpaksa menghidu bau busuk setiap kali air sungai surut.

"Kami sangat berharap perkara itu diambil tindakan segera kerana nelayan semakin hilang pendapatan, kesan daripada pencemaran itu," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Kemasik, Saiful Azmi Suhaili berkata, pihaknya sudah mengadu isu itu kepada pihak yang berwajib dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) sudah mengambil sampel air untuk dianalisis.

Katanya, JAS akan mengambil tindakan kepada pemilik kilang di situ sekiranya terbukti melakukan pencemaran.

Berita Harian X