Khamis, 13 Januari 2022 | 1:52pm
 Empat rumah dan lima kenderaan milik penduduk musnah terbakar di Kampung Suok Batu, Kepayan berhampiran Cyber City, Kota Kinabalu. - FOTO NSTP/JUWAN RIDUAN
Empat rumah dan lima kenderaan milik penduduk musnah terbakar di Kampung Suok Batu, Kepayan berhampiran Cyber City, Kota Kinabalu. - FOTO NSTP/JUWAN RIDUAN

Empat keluarga hilang tempat tinggal

Oleh Juwan Riduan

bhnews@bh.com.my

KOTA KINABALU: Seramai 23 mangsa membabitkan empat keluarga hilang tempat tinggal apabila kediaman mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Suok Batu, Kepayan berhampiran Cyber City, di sini, hari ini.

Kebakaran yang berlaku jam kira-kira 6.30 pagi itu memusnahkan empat buah rumah dan lima kenderaan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima makluman penemuan berkenaan pada jam 6.37 pagi.

Katanya, sepasukan 14 anggota dan pegawai bersama dua jentera dan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) bergegas ke lokasi kejadian.

Pasukan bomba dan penyelamat berusaha mengawal api daripada terus merebak ke dua lagi rumah berhampiran. - FOTO NSTP/JUWAN RIDUAN
Pasukan bomba dan penyelamat berusaha mengawal api daripada terus merebak ke dua lagi rumah berhampiran. - FOTO NSTP/JUWAN RIDUAN

"Sebaik tiba, api sudah marak di sebahagian besar rumah. Pasukan Bomba bertindak memadam kebakaran menggunakan dua aliran sepanjang 65 meter dengan tiga pancutan dari jentera Balai Bomba Dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu," katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, operasi memadam kebakaran juga dibantu jentera BBP Penampang yang menggunakan satu aliran sepanjang 100 meter dengan dua pancutan.

Katanya, tindakan pantas pasukan bomba turut berjaya menyelamat dua rumah berhampiran dan tiada sebarang laporan kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.

"Api kebakaran berkenaan dikawal pada jam 7.06 pagi dan insiden itu menyebabkan empat keluarga membabitkan 23 mangsa kini ditempatkan sementara di Dewan Kivavang, Kepayan.

"Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan bomba," katanya.

Berita Harian X