Rabu, 12 Januari 2022 | 2:43pm

Penduduk lali hadap banjir termenung setiap tahun

BATU PAHAT: "Kami sudah lali dengan kejadian banjir termenung di sini sebab hampir setiap tahun akan berdepan bencana begini," kata Baharim Jimon, mangsa banjir di Kampung Parit Lapis Basri, Sri Medan dekat sini.

Baharim, 76, berkata bencana kali ini sudah hampir seminggu dan paras air ketika ini masih belum surut sepenuhnya, sebaliknya dalam keadaan termenung dan air tidak mengalir ke saluran perparitan.

"Kampung ini menerima air limpahan daripada sungai berdekatan yang terletak hampir 500 meter menyebabkan banyak kawasan rumah penduduk masih digenangi air.

"Pada hari pertama kejadian, air limpahan sungai mula masuk ke dalam rumah, pada waktu itu paras air melepasi paras lutut kira-kira 0.8 meter," katanya ketika ditemui dekat sini, hari ini.

Baharim berkata, ketika ini keadaan saluran dan perparitan di kampung berkenaan diselenggara dengan baik, jika tidak ia berkemungkinan akan lebih buruk seperti kejadian banjir pada tahun 2007 sehingga paras leher.

"Saya mengharapkan cuaca sentiasa baik dan tidak hujan selepas ini, jika tidak banjir termenung berkenaan akan lambat surut.

"Jika keadaan cuaca baik, dijangka dalam masa dua atau tiga hari lagi keadaan banjir termenung di sini akan pulih," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan berkata, jumlah mangsa banjir di Johor menunjukkan perubahan positif apabila 1,227 orang daripada 351 keluarga kini ditempatkan di 26 pusat pemindahan sementara (PPS), setakat jam 12 tengah hari ini.

"Berbanding jam 8 malam tadi, seramai 1,876 mangsa daripada 555 keluarga ditempatkan di 32 PPS seluruh negeri ini.

"Batu Pahat masih mengekalkan jumlah sama pada tengah hari ini dan malam tadi, iaitu sebanyak 81 mangsa daripada 18 keluarga di sebuah PPS," katanya.

Baharim di halaman rumahnya yang masih digenangi air banjir termenung di Kampung Parit Lapis Basri, Batu Pahat. - NSTP/Essa Abu Yamin
Baharim di halaman rumahnya yang masih digenangi air banjir termenung di Kampung Parit Lapis Basri, Batu Pahat. - NSTP/Essa Abu Yamin
Berita Harian X