Rabu, 12 Januari 2022 | 2:33pm
Antara pendatang tanpa izin warga Myanmar yang ditahan pihak polis dalam tiga serbuan berbeza di Pasir Mas kelmarin dan malam tadi. - Foto ihsan PDRM
Antara pendatang tanpa izin warga Myanmar yang ditahan pihak polis dalam tiga serbuan berbeza di Pasir Mas kelmarin dan malam tadi. - Foto ihsan PDRM

Polis tahan 62 PATI warga Myanmar

PASIR MAS: Seramai 62 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar dan tiga warga tempatan disyaki sebagai tekong ditahan polis dalam tiga serbuan berbeza di Pasir Mas.

Tangkapan membabitkan penahanan 46 PATI kelmarin, di dua lokasi iaitu di Kampung Sapi dan Kampung Pusu 40, manakala 16 PATI ditahan di Kampung Siram, di sini, dalam serbuan malam tadi.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir, berkata penahanan berkenaan membabitkan 37 lelaki dan 25 perempuan berusia lingkungan 11 hingga 44 tahun.

"Seramai enam daripada PATI ditahan adalah remaja berusia 11 sehingga 17 tahun. Mereka didapati gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah dan mengakui memasuki Malaysia secara haram.

"Hasil siasatan awal mendapati mereka dihantar seorang lelaki warganegara Thailand dengan menaiki kenderaan dan tinggal di lokasi serbuan tanpa kebenaran mana-mana pihak.

"Semua PATI dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk disiasat mengikut Seksyen 51 (3) Akta Imigresen (pindaan 2002) iaitu peruntukan menahan warganegara asing yang ditangkap untuk siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohd Nasaruddin berkata, seorang tekong berusia 31 tahun ditahan bersama PATI pada serbuan malam tadi, manakala dua lagi individu lelaki dan wanita masing-masing berusia 27 dan 36 tahun ditangkap hasil penahanan sebuah kereta Honda Civic dipercayai turut menjadi dalang penyeludupan.

"Turut ditemui dalam kereta terbabit tiub straw lut sinar warna kuning yang mengandungi 3 pil kemerahan disyaki dadah. Malah, dua tekong lelaki didapati positif dadah jenis Methamphetamine melalui ujian saringan air kencing dijalankan terhadap mereka.

"Kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 26J ATIPSOM 2007 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Beliau berkata, semua PATI berkenaan dipercayai datang ke Malaysia untuk bekerja, namun mengambil khidmat ejen secara haram.

Berita Harian X