Selasa, 11 Januari 2022 | 7:53pm
 Warga Pahang digalakkan dapatkan dos penggalak di PPV yang disediakan. Foto NSTP / FARIZUL HAFIZ AWANG
Warga Pahang digalakkan dapatkan dos penggalak di PPV yang disediakan. Foto NSTP / FARIZUL HAFIZ AWANG

277,422 penduduk Pahang terima dos penggalak

KUANTAN: Seramai 277,422 orang atau 29.4 peratus daripada 944,510 orang yang disasarkan sudah melengkapkan pengambilan dos penggalak dalam Program Pemberian Vaksin Dos Penggalak (VDP) di Pahang sehingga kelmarin.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pahang, Datuk Dr Nor Azimi Yunus, berkata setakat ini, 179 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dibuka di seluruh Pahang untuk meningkatkan pencapaian VDP itu.

Berdasarkan jumlah itu, katanya, sebanyak 78 PPV klinik perubatan am swasta (GP), lapan PPV 'Off site', dua PPV hospital swasta, 80 PPV klinik kesihatan dan 11 PPV hospital kerajaan.

"Ini bertujuan meningkatkan kapasiti VDP di Pahang. Kita juga akan membuka beberapa PPV di dewan awam dalam masa terdekat.

"Sehubungan itu, warga Pahang digalakkan mendapatkan dos penggalak di PPV yang disediakan," katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Berita Harian X