Selasa, 11 Januari 2022 | 2:01pm
Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Sembilan.
Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Sembilan.

Veterinar Negeri Sembilan proaktif sekat Demam Babi Afrika

SEREMBAN: Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Sembilan (JPVNS) mengambil langkah proaktif dan berjaga-jaga susulan pengesanan penyakit Demam Babi Afrika (ASF) yang dilaporkan di 16 ladang komersial di Masjid Tanah, Melaka, baru-baru ini.

Pengarahnya, Dr Redzuan Ibrahim, berkata tindakan itu untuk memastikan jangkitan berkenaan tidak merebak ke ladang ternakan babi di negeri ini.

Walaupun sehingga kini tiada kes berkenaan dikesan, katanya, namun langkah proaktif diambil termasuk meningkatkan kawalan biosekuriti dengan mengenakan syarat pergerakan haiwan yang ketat dan kawalan sempadan.

"Kita juga sudah mengeluarkan notis menghentikan operasi kepada premis yang masih menternak tanpa lesen dan melakukan aktiviti penyembelihan babi secara tanpa kebenaran yang sah dari pihak jabatan.

"Surat dan notis pemakluman berkaitan penularan penyakit ASF juga sudah dikeluarkan kepada semua agensi kerajaan berkaitan, selain penternak babi hutan, penjual dan restoran daging babi hutan dan premis yang berkaitan dengan industri babi.

"Hebahan dan khidmat nasihat ASF turut dilakukan kepada penternak babi berlesen dan tidak berlesen, dalam menyekat penularan wabak berkenaan," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Dalam laporan media sebelum ini, JPV mengesahkan penyakit ASF menjangkiti 16 ladang babi komersial di Paya Mengkuang, Masjid Tanah, Melaka.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar Dr Norlizan Mohd Noor dilaporkan berkata, bagi mengawal dan mencegah rebakan penyakit ASF, JPV menguatkuasakan stamping out policy menerusi pemusnahan babi ladang yang disahkan positif ASF.

Sementara itu, Dr Redzuan berkata, hanya terdapat sebuah ladang ternakan babi berlesen di Tampin, manakala 23 ladang tanpa lesen dikenal pasti di sekitar Kampung Tanah Merah Site A dan Site C, di Port Dickson.

Beliau berkata, pihak jabatan mengeluarkan notis untuk menghentikan operasi kepada semua premis ternakan babi tanpa lesen yang terbabit.

"Sehingga kini, sebanyak tiga pengusaha disaman di bawah Enakmen Mengawal Pemeliharaan Babi 1980 kerana melakukan aktiviti penternakan babi tanpa lesen," katanya.

Berita Harian X