Selasa, 11 Januari 2022 | 12:02pm

Redah air banjir demi anak murid

KLUANG: Sekumpulan guru Sekolah Kebangsaan (SK) Ladang Mutiara di Kahang yang mengambil risiko meredah banjir untuk memastikan anak muridnya datang ke sekolah, mengundang sebak masyarakat.

Guru Besar SK Ladang Mutiara Azizul Azihan Mahmud, pengurusan sekolah terharu dengan kesungguhan guru berkenaan yang lebih mementingkan pembelajaran murid daripada nyawa sendiri.

"Jika diikutkan anak-anak buah saya awalnya sudah akur dengan arahan supaya mereka melapor bertugas di sekolah berdekatan namun saya lihat sifat kemanusiaan mereka ini mengatasi kepentingan diri.

"Pagi hari pertama sekolah dibuka (Ahad lalu), dua guru lelaki yang menaiki motosikal lasak mengambil keputusan untuk uji jalan berkenaan selamat atau tidak untuk dilalui.

"Alhamdulillah mereka lepas dan disusuli seorang lagi guru lelaki yang menaiki motosikal lain dan lima guru lain yang menaiki dua kereta Perodua Kembara.

"Saya kagum, sebak dan terharu dengan kesungguhan anak-anak buah saya ini apabila mereka sebenarnya bertindak demikian kerana tidak mahu murid-murid ketinggalan pelajaran," katanya di sini, hari ini.

Azizul Azihan berkata, dia yang baru bertugas di sekolah berkenaan kira-kira sembilan bulan berkata, laluan di kebun kelapa sawit Batu 26 Kahang ke Sungai Peroh itu adalah lokasi banjir setiap kali paras air Sungai Bahai melimpah.

Terdapat seramai 19 guru dan 104 murid dari darjah satu hingga enam di SK Ladang Mutiara.

Dalam pada itu, tular gambar dan video rakaman memaparkan aksi mendebarkan guru berkenaan yang menongkah air banjir Sungai Bahai itu di media sosial.

Sekumpulan guru Sekolah Kebangsaan (SK) Ladang Mutiara di Kahang, Kluang Johor meredah air banjir untuk mengajar. - Foto Azizul Azihan Mahmud
Sekumpulan guru Sekolah Kebangsaan (SK) Ladang Mutiara di Kahang, Kluang Johor meredah air banjir untuk mengajar. - Foto Azizul Azihan Mahmud
Berita Harian X