Isnin, 10 Januari 2022 | 6:46pm
Penonton dijemput menyertai pelbagai peraduan secara dalam talian dengan mengikuti arahan juruacara bagi memenangi angpau berjumlah RM10,000. NSTP/Ihsan Invest Selangor.
Penonton dijemput menyertai pelbagai peraduan secara dalam talian dengan mengikuti arahan juruacara bagi memenangi angpau berjumlah RM10,000. NSTP/Ihsan Invest Selangor.

Sambutan Tahun Baharu Cina Negeri Selangor di media sosial

SHAH ALAM: Program kebudayaan istimewa sambutan Perayaan Tahun Baharu Cina peringkat negeri Selangor tahun ini akan diadakan di platform media sosial berikutan pandemik COVID-19 yang belum terkawal.

Invest Selangor Berhad dalam kenyataan hari ini berkata, program itu akan ditayangkan menerusi laman Facebook Mandarin Datuk Menteri Besar Selangor @ami.mbselangor dan di Facebook EXCO Selangor Teng Chang Khim pada 1 Februari, jam 9 malam.

"Program tahun ini akan menyaksikan penampilan seniman dari tiga generasi berlatarkan zaman masing-masing, iaitu pada 70-an hingga 80-an, 90-an hingga awal 2000 dan zaman 2000-an.

"Acara yang bakal berlangsung ini akan dihoskan oleh pengacara televisyen Yoke Chen dan YouTuber popular, Jym Chong," kata kenyataan itu.

Rakaman video lagu bertajuk `Salam Tahun Baru' gubahan kerajaan negeri Selangor yang dinyanyikan oleh beberapa penyanyi undangan seperti Chow Kam Leong, Chang Sang Teck, Lim Wen Suen dan Lee Elaine akan disiarkan pada majlis pelancaran.

Selain itu, antara acara lain ialah persembahan lagu klasik Tahun Baharu Cina oleh Chow Kam Leong dan Chang Sang Teck (Kumpulan Dua Sekawan) dan artis Lee Elaine, Persembahan Tarian Singa oleh Persatuan Tarian Singa Hong Jing, Selangor, Persembahan Tarian oleh Dua Space Dance Theatre dan banyak lagi.

"Mengambil kira sambutan hangat pada tahun lalu, penonton dijemput menyertai pelbagai peraduan dalam talian dan berpeluang memenangi angpau berjumlah RM10,000," katanya.

Sebelum ini, Program kebudayaan istimewa sambutan Perayaan Tahun Baharu Cina peringkat negeri selangor pada 2021 mendapat sambutan hangat di mana sebanyak 218,000 tontonan dicapai dari beberapa negara seperti Singapura, Taiwan, Macau, United Kingdom, Amerika Syarikat dan Indonesia.

Berita Harian X