Isnin, 10 Januari 2022 | 3:33pm
Penempatan penduduk di Kuala Kemaman yang kerap ditenggelami banjir akibat tiada sistem peparitan sempurna. - NSTP/ROSLI ILHAM
Penempatan penduduk di Kuala Kemaman yang kerap ditenggelami banjir akibat tiada sistem peparitan sempurna. - NSTP/ROSLI ILHAM

Penduduk Kuala Kemaman dibelenggu banjir sejak 50 tahun

CHUKAI: Penduduk meminta suatu sistem perparitan sempurna dibina di Kuala Kemaman di sini, bagi mengelak banjir akibat fenomena air pasang besar yang berlaku setiap tahun.

Penduduk, Zakaria Rawi, 60, berkata setiap kali musim banjir kediaman penduduk berhampiran tebing sungai akan ditenggelami air hampir satu meter.

Katanya, masalah itu berlarutan hampir 50 tahun lalu, menyebabkan kira-kira 80 keluarga kebanyakannya nelayan menjadi mangsa.

"Setiap kali banjir dan fenomena air pasang besar, kawasan ini dinaiki air serta dicemari air kumbahan yang mengakibatkan berlaku timbunan sampah selepas air surut.

"Keadaan ini menyebabkan kawasan persekitaran kampung menjadi berbau busuk dan lecak," katanya ketika ditemui hari ini.

Seorang lagi penduduk, Aishah Abdullah, 58, berkata setiap kali banjir, air lumpur akan memasuki kediaman penduduk dan merosakkan harta benda.

"Persekitaran kampung menjadi kotor dan menimbulkan rasa kurang selesa selain kami bimbang diancam penyakit. Kami harap kerajaan dapat bina sistem perparitan sempurna segera," katanya turut berharap kerajaan mempertimbangkan memindahkan mereka ke kawasan lebih selamat.

Dia juga meminta penempatan itu dapat dinaikkan taraf segera kerana penduduk yang rata-ratanya nelayan tidak mampu berpindah ke kediaman lain.

Berita Harian X