Sabtu, 8 Januari 2022 | 8:33am
Pengunjung membantu mengeluarkan dua jari kaki kiri kanak-kanak perempuan yang tersepit pada eskalator di sebuah pasar raya di sini, tengah hari semalam. - Foto ihsan pembaca
Pengunjung membantu mengeluarkan dua jari kaki kiri kanak-kanak perempuan yang tersepit pada eskalator di sebuah pasar raya di sini, tengah hari semalam. - Foto ihsan pembaca

Jari kaki kanak-kanak tersepit eskalator

KOTA BHARU: Sepasang suami isteri berdepan detik cemas apabila dua jari kaki kiri anak perempuannya tersepit pada eskalator.

Kejadian berlaku di sebuah pasar raya di sini pada jam 12.30 tengah hari semalam membabitkan seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Mohd Suhaimi Ali, berkata kejadian berlaku ketika tiga beranak itu dari aras bawah menaiki eskalator untuk ke tingkat satu.

"Secara tiba-tiba, kaki kiri mangsa tersepit pada eskalator menyebabkan berlaku kecederaan pada jari kaki kiri.

"Mangsa dibantu beberapa pengunjung yang kebetulan berada di lokasi untuk mengeluarkan bahagian yang tersepit," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mohd Suhaimi berkata, mangsa dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian kerana cedera di jari kelingking serta tengah.

Dalam video berdurasi 24 saat yang tular sejak semalam, memaparkan kejadian seorang kanak-kanak perempuan tersepit kaki pada eskalator dan dibantu beberapa pengunjung sebelum didukung ibunya sebaik bahagian kaki yang terlekat itu berjaya dikeluarkan.

Berita Harian X