Sabtu, 8 Januari 2022 | 8:16am
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman (kiri) menyerahkan bantuan alat bantuan pernafasan untuk kegunaan kanak-kanak Mohd Hisyamuddin Mohd Asri di Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Bukit Rangin, semalam. - Foto NSTP/Mohd Rafi Mamat
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman (kiri) menyerahkan bantuan alat bantuan pernafasan untuk kegunaan kanak-kanak Mohd Hisyamuddin Mohd Asri di Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Bukit Rangin, semalam. - Foto NSTP/Mohd Rafi Mamat

MUIP peruntukkan RM1.8 juta untuk rawatan, alatan perubatan

KUANTAN: Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) telah membelanjakan sebanyak RM1.8 juta bagi menyediakan kemudahan rawatan termasuk bantuan peralatan perubatan tahun lalu.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman, berkata seramai 873 individu di negeri ini berpeluang menerima bantuan di bawah program kesihatan asnaf itu.

Beliau berkata, mereka yang terbabit mengidap pelbagai jenis penyakit kronik selepas disahkan oleh doktor di hospital kerajaan dan memerlukan rawatan lanjut termasuk pelbagai peralatan perubatan.

Katanya, antara peralatan perubatan yang disumbangkan oleh MUIP kepada pesakit di bawah program kesihatan asnaf ialah kerusi roda, alat bantuan pernafasan, tilam dan katil serta anggota palsu dan sumbangan kewangan bagi kes tertentu sahaja.

"Kita sentiasa berusaha menyediakan peralatan perubatan secepat mungkin kepada mereka yang terbabit, dalam masa sehari hingga tiga hari bergantung kepada tempat tinggal pemohon dan bekalan peralatan yang diperlukan," katanya.

Beliau berkata demikian, selepas menyampaikan alat bantuan pernafasan kepada kanak-kanak Mohd Hisyamuddin Mohd Asri, 7, di Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Bukit Rangin, di sini, semalam.

Asmadi berkata, kanak-kanak berkenaan amat memerlukan bantuan berkenaan selepas alat bantuan pernafasan miliknya rosak akibat bencana banjir besar akhir tahun lalu.

Katanya, kanak-kanak berkenaan menghidap penyakit berkaitan paru-paru sejak berusia enam bulan dan sebelum ini sering dimasukkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini bagi tujuan rawatan.

"Harga alat bantuan pernafasan berkenaan lebih RM5,900, dengan bantuan berkenaan diharap dapat menyelesaikan masalah dihadapi bapa Mohd Hisyamuddin yang bekerja sebagai pengawal keselamatan dengan pendapatan sekitar RM1,400 sebulan," katanya.

Berita Harian X