Khamis, 6 Januari 2022 | 11:11am
Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin (kanan) diberi penerangan mengenai pembangunan daerah Kinabatangan oleh Pegawai Daerah, Abdul Manap Abdul Ruhim (dua dari kanan) sempena lawatan beliau ke daerah itu, semalam. - BERNAMA
Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin (kanan) diberi penerangan mengenai pembangunan daerah Kinabatangan oleh Pegawai Daerah, Abdul Manap Abdul Ruhim (dua dari kanan) sempena lawatan beliau ke daerah itu, semalam. - BERNAMA

50 rumah terpaksa diroboh beri laluan Projek Lebuhraya Pan Borneo

KOTA KINABALU: Kira-kira 50 rumah dikenal pasti perlu dirobohkan untuk memberi laluan kepada pelaksanaan Projek Lebuhraya Pan Borneo bagi jajaran Kinabatangan-Telupid di pantai timur Sabah.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata penduduk yang terbabit sudah disediakan tapak baharu untuk membina semula rumah masing-masing di sekitar Kota Kinabatangan.

"Penduduk perlu berpindah untuk memberi laluan kepada projek itu dan kerajaan sudah menyediakan tanah kepada mereka untuk membina semula rumah," katanya mengulas perkembangan Projek Lebuhraya Pan Borneo bagi jajaran berkenaan selepas menghadiri taklimat pembangunan daerah di Kinabatangan, semalam.

Awal November lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melancarkan tiga pakej Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah bagi kawasan pantai timur Sabah yang membabitkan laluan Sandakan-Kinabatangan-Beluran-Telupid. Pakej terbabit ialah WP28, WP29 dan WP30 merangkumi jarak 58 kilometer dengan kos RM877 juta.

Mengenai pampasan kepada pemilik rumah yang dirobohkan, Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya negeri, berkata ia tertakluk kepada kriteria yang ditetapkan, selain turut mengambil kira kemampuan kerajaan.

Katanya, penduduk tidak sepatutnya membina rumah terlalu dekat dengan jalan raya sehingga memasuki kawasan rizab jalan sedia ada kerana ia menyukarkan kerja pelebaran dan naik taraf kemudahan itu pada kemudian hari.

"Tanah rizab jalan tidak boleh diduduki. Jika ini difahami, mereka (penduduk) seharusnya membina rumah jauh sikit dari jalan raya. Apabila rumah yang dibina cantik, kos (pampasan) bukan dikira mengikut harga rumah itu, tetapi mengikut kemampuan kerajaan," katanya.

Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan menasihatkan rakyat di Sabah supaya tidak mendirikan rumah atau bangunan sewenang-wenangnya di tepi jalan raya bagi memberi ruang kepada pelebaran infrastruktur itu pada masa depan.

Sementara itu, Bung Moktar berkata, selain Projek Lebuhraya Pan Borneo, satu lagi projek pembinaan jalan raya sedang dilaksanakan di kawasan Parlimen Kinabatangan, menghubungkan Kampung Linayukan di Tongod dengan Sinaron di Keningau.

Jalan raya sepanjang kira-kira 40 kilometer itu mulai dilaksanakan pada tahun lalu dengan kos RM320 juta dan dijangka siap dalam tempoh tiga tahun.

"Dengan adanya rangkaian jalan raya yang diaspal dan dibina dengan baik ini, sudah tentu akan menjadi pemangkin kepada ekonomi sekitar dan ia boleh menghubungkan daerah Ranau, Kota Kinabalu, Kinabatangan dan Pensiangan," katanya.

Berita Harian X