Rabu, 5 Januari 2022 | 3:09pm

Peniaga Pasar Siti Khadijah guna kaedah pembayaran tanpa tunai

KOTA BHARU: Persatuan Peniaga-Peniaga Kecil Pasar Besar Siti Khadijah mengaplikasikan kaedah pembayaran tanpa tunai menerusi aplikasi kod QR ke arah mewujudkan kehidupan masyarakat digital.

Pengerusi Persatuan Peniaga-Peniaga Kecil Bumiputera, Ahmad Nazri Che Omar, berkata pada peringkat awal, pihaknya menyasarkan seramai 400 peniaga di Pasar Besar Siti Khadijah menggunakan kaedah pembayaran tanpa tunai untuk urusan jual beli dengan pelanggan mereka.

Katanya, menerusi pembayaran menggunakan aplikasi kod QR ia secara tidak langsung memberikan kemudahan pembayaran lebih fleksibel kepada orang ramai, inisiatif ini sekali gus menyokong ke arah membolehkan komuniti membuat pembayaran tanpa tunai.

"Pada masa sama, kaedah pembayaran tanpa tunai ini juga dilihat semakin popular sejak negara dilanda pandemik COVID-19 kerana transaksi lebih selamat serta tidak ada sentuhan fizikal apabila pembeli membuat pembayaran di mana mereka hanya perlu mengimbas kod QR disediakan.

"Pengguna juga tidak perlu menanggung risiko membawa wang tunai dalam jumlah yang banyak kerana pembayaran dapat dilakukan terus menerusi platform Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB)," katanya kepada pemberita selepas Program Pembudayaan Pembayaran Norma Baharu Transformasi Digital Pasar Siti Khadijah, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengurus Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) Cawangan Kota Bharu, Mohd Rizauddin Noor.

Ahmad Nazri berkata, pembayaran tanpa tunai itu juga adalah yang kali pertama diperkenalkan dalam kalangan peniaga pasar bagi membiasakan mereka berurusan dengan pelanggan menggunakan kemudahan digital bagi mengurangkan kebergantungan kepada wang tunai.

"Program pembayaran tanpa tunai ini adalah di bawah Bank Negara Malaysia (BNM) Kuala Terengganu dengan kerjasama agensi lain antaranya Bank Islam (M) Bhd Negeri Kelantan, Paynet dan kerajaan negeri membabitkan beberapa agensi seperti AKPK, Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MKPB- BRI), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta Kelantan Digital.

"Kemudahan pembayaran tanpa tunai ini semakin berkembang pesat dan ditambah pula dengan pendemik COVID-19 sekali gus ia menjadi medium pembayaran popular dalam kalangan masyarakat pada hari ini," katanya.

Pengurus Deposit Bank Islam (M) Berhad Negeri Kelantan Wan Rusmayaty Wan Hussin (kiri) memberi penerangan kepada salah seorang peniaga pasar mengenai kaedah pembayaran tanpa tunai menggunakan aplikasi kod QR. - NSTP/Hazira Ahmad Zaidi
Pengurus Deposit Bank Islam (M) Berhad Negeri Kelantan Wan Rusmayaty Wan Hussin (kiri) memberi penerangan kepada salah seorang peniaga pasar mengenai kaedah pembayaran tanpa tunai menggunakan aplikasi kod QR. - NSTP/Hazira Ahmad Zaidi
Berita Harian X