Rabu, 5 Januari 2022 | 1:56pm
Operasi menyelamatkan 86 lembu fidlot milik seorang penternak di Kampung Lubuk Gitan dilakukan selepas kandang haiwan ternakan berkenaan dinaiki air. - Foto Ihsan Jabatan Veterinar
Operasi menyelamatkan 86 lembu fidlot milik seorang penternak di Kampung Lubuk Gitan dilakukan selepas kandang haiwan ternakan berkenaan dinaiki air. - Foto Ihsan Jabatan Veterinar

Kandang dinaiki air, 86 lembu diselamatkan

KUALA PILAH: Sebanyak 86 lembu milik seorang penternak terpaksa dipindahkan ke tempat selamat selepas kandang yang menempatkan haiwan ternakan berkenaan dinaiki air sehingga mencecah 0.4 meter, di Kampung Lubuk Gitan, di sini.

Dalam kejadian banjir pada 1 Januari lalu itu, Jabatan Veterinar Negeri Sembilan bersama Persatuan Usahawan Ruminan Negeri Sembilan (PURNS) berjaya memindahkan haiwan ternakan berkenaan menggunakan lori.

Pengarah Jabatan Veterinar Negeri Sembilan, Dr Redzuan Ibrahim, berkata pegawainya bersama wakil dari PURNS terpaksa meredah air setinggi paras paha untuk menghalau lembu supaya masuk ke lori.

"Hanif Ismail menternak empat jenis haiwan, termasuk biri-biri, kerbau, lembu bukan fidlot dan lembu fidlot. Pada hari kejadian, kawasan kandangnya dinaiki air sejak pagi sebelum dia memaklumkan kepada kami kira-kira jam 3 petang.

"Hanya lembu fidlot sebanyak 86 ekor perlu dialihkan memandangkan lembu bukan fidlot dan kerbau sudah dilepaskan manakala kandang kambing lebih tinggi. Selepas berbincang, kami memutuskan untuk memindahkan haiwan berkenaan ke tempat selamat," katanya ketika dihubungi.

Redzuan berkata, dengan bantuan PURNS, pihaknya menggunakan lori muatan 3 tan untuk memindahkan lembu fidlot terbabit ke dua lokasi iaitu di Kampung Ulu Gentam dan di Pusat Penyembelihan Kuala Pilah.

"Operasi bermula jam 7.30 malam dan hanya tamat pada jam 11.30 malam. Kami terpaksa berulang-alik sebanyak tiga kali untuk memindahkan semua lembu kerana lori hanya bermuatan tiga tan sahaja.

Beliau berkata, lembu fidlot memang diternak di dalam kandang dan tidak boleh dilepaskan untuk tujuan pengeluaran lembu pedaging melalui peningkatan berat badan dengan memberi makanan bermutu.

"Kami juga difahamkan, lembu berkenaan sudah terendam di dalam air sejak pagi. Jika dibiarkan ia boleh menjejaskan kesihatan lembu sama ada diserang penyakit, lemas atau mengalami tekanan.

"Pihak PURNS juga membekalkan makanan dedak kepada haiwan berkenaan sepanjang ia berada di pusat pemindahan sebelum pihak kami meneruskan pada hari berikutnya," katanya.

Berita Harian X