X
Isnin, 3 Januari 2022 | 6:57pm
 Harimau kumbang jantan yang memasuki perangkap selepas 11 hari menjadi igauan ngeri penduduk Kampung Asli Kenang Baru, Jalong Tinggi, dekat sini.- Foto ihsan PERHILITAN
Harimau kumbang jantan yang memasuki perangkap selepas 11 hari menjadi igauan ngeri penduduk Kampung Asli Kenang Baru, Jalong Tinggi, dekat sini.- Foto ihsan PERHILITAN

Harimau kumbang dikesan dekat kandang lembu ditangkap

SUNGAI SIPUT: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri Perak menangkap seekor harimau kumbang jantan di Kampung Asli Kenang Baru Jalong Tinggi, Sungai Siput di sini, semalam.

Perhilitan dalam satu kenyataan, berkata pihaknya menerima aduan mengenai kemunculan harimau kumbang berusia enam tahun itu pada 24 Disember lalu sebelum mengarahkan anggotanya melakukan tindakan susulan.

Katanya, tiga anggota Perhilitan mengesan kehadiran haiwan terbabit ketika tinjauan dilakukan pada tengah malam 25 Disember lalu apabila haiwan itu didapati berkeliaran sekitar kandang lembu.

Menurutnya, bagaimanapun usaha menembak haiwan berkenaan menggunakan ubat pelali ketika itu gagal.

"Pada awalnya kita mengambil keputusan untuk menembak haiwan itu menggunakan pelali pada pagi iaitu selepas keadaan beransur terang bagi menjamin keselamatan serta mengelakkan kejadian tidak diingini dalam pada pemantauan dan kawalan di kawasan itu masih diteruskan.

"Namun kira-kira jam 7 pagi 25 Disember, haiwan itu didapati masuk semula ke hutan belukar berhampiran kandang lembu terbabit.

"Susulan itu, kakitangan Perhilitan memasang dua perangkap harimau di kawasan berkenaan dengan pemantauan di kawasan perangkap dipasang itu diteruskan dari semasa ke semasa hingga itu masuk perangkap malam tadi," kata kenyataan itu.

Menurutnya, haiwan seberat 37 kilogram itu diserahkan kepada Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) untuk proses pemeriksaan lanjut, rawatan dan pelepasan semula.

Katanya lagi, penduduk kampung dinasihatkan agar sentiasa membersihkan kawasan kandang haiwan ternakan dan kebun serta tidak dibiarkan bersemak sebagai langkah mengurangkan kehadiran hidupan liar di kawasan berkenaan.

Berita Harian X