Isnin, 3 Januari 2022 | 4:16pm
 Komuniti maritim dinasihatkan supaya berwaspada serta menangguhkan dahulu aktiviti membabitkan perairan susulan cuaca buruk ketika ini. - Foto fail NSTP
Komuniti maritim dinasihatkan supaya berwaspada serta menangguhkan dahulu aktiviti membabitkan perairan susulan cuaca buruk ketika ini. - Foto fail NSTP

Tangguh aktiviti di laut jika keadaan cuaca buruk

ALOR SETAR: Komuniti maritim terutama nelayan, pemancing dan pengunjung pantai peranginan dinasihatkan supaya berwaspada serta menangguhkan dahulu aktiviti membabitkan perairan susulan cuaca buruk di negeri Kedah dan kebanyakan negeri ketika ini.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak, berkata ini kerana perairan negeri ini terutama di Kuala Muda diramalkan berlaku air pasang besar dengan tiupan angin Monsun Timur Laut yang lebih kuat sehingga 5 Januari ini.

Beliau berkata, keadaan laut ketika ini juga amat berbahaya kepada bot kecil berikutan hujan lebat dan laut bergelora dengan ombak boleh mencapai ketinggian 1.5 sehingga 2.5 meter.

Katanya, ini berikutan perairan Kedah bakal menerima tiupan angin lebih kencang dan berterusan dengan kelajuan boleh mencecah sehingga 50 hingga 60 kilometer (km) sejam berserta hujan lebat.

"Kebanyakan nelayan yang berdaftar di negeri ini adalah nelayan Kelas A yang menggunakan bot kecil untuk menangkap ikan.

"Dengan cuaca yang buruk pada masa sekarang, ada kemungkinan bot boleh terbalik apabila dibadai ribut dan ombak yang kuat," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Noor Azreyanti berkata, bagaimanapun, sekiranya masih perlu ke laut, mereka harus sentiasa berhati-hati dan mengambil langkah keselamatan dengan memakai jaket keselamatan, merujuk ramalan kaji cuaca

terlebih dahulu selain memastikan bot dalam keadaan selamat.

Beliau berkata, mereka juga perlu membawa peranti pengesan peribadi yang membantu mempercepatkan bantuan di laut, jika berlaku sebarang kecemasan selain menghubungi talian Pusat Operasi Maritim yang beroperasi 24 jam.

"Kawasan operasi dan carilamat di bawah tanggungjawab Maritim Kuala Kedah adalah seluas 164 batu nautika dari Kuala Sanglang ke Kuala Muda," katanya.

Berita Harian X