Sabtu, 1 Januari 2022 | 1:08pm
Orang ramai boleh menghubungi ibu pejabat JHEAINS atau Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) untuk maklumat lanjut.
Orang ramai boleh menghubungi ibu pejabat JHEAINS atau Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) untuk maklumat lanjut.

Mangsa banjir dapat salinan sijil nikah, cerai percuma

SEREMBAN: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) akan mengeluarkan salinan Surat Perakuan Nikah, Cerai dan Rujuk (NCR) secara percuma bagi pasangan yang terjejas akibat banjir.

Pengarahnya, Datuk Mohd Zaidi Ramli berkata, program itu terbuka kepada pasangan yang mendaftar perkahwinan, perceraian dan rujuk di Negeri Sembilan sahaja.

"JHEAINS mengarahkan pengeluaran salinan untuk ketiga-tiga proses kepada pasangan terjejas banjir selaras objektif peningkatan reputasi dan kecekapan perkhidmatan.

"Setiap permohonan perlu mengikut prosedur iaitu individu atau pasangan terjejas akibat banjir di seluruh negara mulai 18 Disember lalu.

"Rekod proses NCR adalah berdaftar di Negeri Sembilan. Mereka perlu mengisi borang dan melampirkan salinan dokumen pengenalan diri.

"Borang perlu disahkan imam masjid kariah, penolong pendaftar NCR, ketua kampung, pengerusi MPKK atau pengerusi jawatankuasa penduduk tempat pemohon tinggal," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Zaidi berkata, borang permohonan dan salinan dokumen dimohon diberikan secara percuma.

Katanya, salinan perakuan NCR akan dikeluarkan dalam sehari bekerja, jika pemohon melengkapkan borang ditetapkan sebelum jam 3 petang dari dari Isnin hingga sebelum jam 12 tengah hari pada Jumaat.

"Garis panduan ini berkuat kuasa dari 3 Januari hingga 31 Mac ini.

"Orang ramai yang memerlukan maklumat lanjut boleh menghubungi ibu pejabat JHEAINS atau Pejabat Agama Islam Daerah berhampiran," katanya.

Berita Harian X