Jumaat, 31 Disember 2021 | 1:58pm

Pak Wan catat rekod kayuh basikal sejauh 2,317 km

KOTA BHARU: Penunggang basikal warga emas, Wan Hashim Wan Mahmood, 75, menamatkan kayuhan solo sejauh 2,317 kilometer (km) dalam tempoh sebulan semalam, sekali gus berjaya mencatat rekod dalam Malaysia Book of Records (MBOR).

Sebelum ini beliau mendapat pengiktirafan dalam rekod yang sama sebanyak enam kali iaitu pada tahun 2014, 2015, 2017, 2018, 2019 dan 2020.

Wan Hashim atau lebih dikenali sebagai Pak Wan berkata, pelbagai cabaran yang dihadapinya untuk menghabiskan kayuhan berkenaan terutama jalan licin akibat hujan di musim tengkujuh.

Katanya, antara cabaran yang tidak dapat dilupakan apabila dia perlu mendaki bukit di beberapa lokasi termasuk di Pahang dan Perak.

"Saya juga terpaksa berkayuh dalam hujan, namun saya kuatkan semangat untuk sampai ke destinasi dalam masa yang ditetapkan.

"Saya juga pernah berkayuh dalam keadaan gelap pada waktu malam sejauh 10 km di Jerteh, Terengganu selepas lampu basikal rosak, semata-mata untuk mencari tempat tidur. Alhamdulillah saya berjaya mengharunginya dan sampai ke lokasi dengan selamat," katanya.

Pak Wan berkata demikian ketika ditemui selepas menamatkan kayuhan solo selama 30 hari rentas Semenanjung Malaysia di Kota Darulnaim, di sini hari ini.

Ketibaan Pak Wan disambut Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Roslan Wan Hamat. Yang turut hadir, Presiden Kelab Media Kelantan Darul Naim (KEMUDI), Shahnun Hanif Abdullah Suhaimi.

Bagi perancangan akan datang, Pak Wan mensasarkan kayuhan ke Perth, Australia tahun hadapan untuk mencatatkan rekod kelapan dalam MBOR.

"Saya bercadang akan melakukan kayuhan bersama seorang rakan sebelum Disember tahun hadapan. Insya-Allah rancangan ini saya akan laksanakan kerana mahu meneroka lokasi dan budaya negara Australia. Pada masa sama, saya juga pernah ke sana sebelum ini dan melihat negara itu dilengkapi dengan kemudahan untuk pengayuh basikal," katanya.

Pak Wan berkata, walaupun sudah berusia, ia tidak menghalangnya untuk berusaha mencapai semua misi yang dirancang.

Wan Hashim Wan Mahmood, 75, menunggang basikal sejauh 2,317 kilometer dalam tempoh sebulan dan mencatatkan rekod ketujuh dalam Malaysia Book of Records. - NSTP/Hidayatidayu Razali
Wan Hashim Wan Mahmood, 75, menunggang basikal sejauh 2,317 kilometer dalam tempoh sebulan dan mencatatkan rekod ketujuh dalam Malaysia Book of Records. - NSTP/Hidayatidayu Razali
Berita Harian X