Selasa, 28 Disember 2021 | 7:28pm
 Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M Yusop
Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M Yusop

Tunai zakat lebih RM1 juta, 34 syarikat terima 'iktiraf' Berlian

SHAH ALAM: Lembaga Zakat Selangor (LZS) memberi Pengiktirafan Muzakki (IKTIRAF) Berlian kepada 34 syarikat korporat yang menunaikan zakat perniagaan melebihi RM1 juta tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Saipolyazan M Yusop, berkata IKTIRAF diperkenalkan sebagai penghargaan kepada muzakki (pengeluar zakat) yang bersama badan itu, menyantuni golongan asnaf melalui komitmen dalam menunaikan zakat perniagaan.

"Sebagai permulaan, 34 syarikat korporat menerima penghargaan itu, sekali gus membantu memastikan pengagihan zakat di Selangor terus berjalan lancar," katanya pada Majlis IKTIRAF di sini, hari ini.

Beliau berkata, penghargaan IKTIRAF dibahagikan kepada empat kategori iaitu Berlian diberikan kepada muzakki yang menunaikan zakat melebihi RM1 juta, Emas (antara RM500,000 hingga RM999,999), Perak (antara RM100,00 hingga RM499,999) dan Gangsa (antara RM50,000 hingga RM99,999).

Antara syarikat korporat menerima penghargaan pada majlis itu ialah Lembaga Tabung Haji (RM27,712,316.97), UMW Holdings Berhad (RM4,293,859), Tenaga Nasional Berhad (RM3,933,133.49), Central Sugar Refinery Sdn Bhd (RM3,910,489) dan Kumpulan Wang Sumbangan Modal Pembentungan (RM1,794,401.73).

Pada majlis sama, tiga syarikat menyumbangkan semula sebahagian wang wakalah agihan zakat masing-masing kepada program 'Kasihku Zakat Selangor' membabitkan sejumlah RM314,000.

Syarikat berkenaan ialah Central Sugar Refinery yang menyumbang RM279,000 bagi membina tiga rumah fakir miskin, CGS-CIMB Secutiries Sdn Bhd sebanyak RM24,000 bagi program Kembali Ke Sekolah serta CELCOM Axiata Berhad sebanyak RM11,000 bagi pembelian tablet berserta data internet. – BERNAMA

Berita Harian X