Isnin, 27 Disember 2021 | 9:52pm
 Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr Jeffrey Kitingan
Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr Jeffrey Kitingan

JPS Sabah diarah pastikan sistem perparitan lancar elak banjir

KOTA KINABALU: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sabah diarah memastikan semua sistem perparitan, khususnya di pantai timur negeri itu tidak tersumbat sebagai langkah menghadapi hujan lebat akibat luruan angin Monsun Timur Laut.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Jeffrey Kitingan, berkata JPS perlu mengambil langkah segera bagi memastikan sistem perparitan sedia ada dapat mengalirkan air hujan dengan lancar, terutama di kawasan bandar.

Katanya, arahan itu sejajar ramalan hujan lebat luar biasa yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) hari ini.

"Air hujan biasanya tidak dapat mengalir lancar di kawasan bandar disebabkan parit tersumbat.

"Ia mungkin disebabkan pelbagai faktor, paling banyak disebabkan pembinaan perparitan tidak sempurna, selain disalah guna sebagai tempat pembuangan sampah.

"Namun, sekarang bukan masa untuk menuding jari, lebih penting ialah kita mesti bersedia menghadapi situasi terburuk," katanya dalam kenyataan, malam ini.

Jeffrey yang juga Menteri Pertanian dan Perikanan negeri, turut menasihatkan penduduk di kawasan rendah supaya berjaga-jaga dan mengambil iktibar terhadap kejadian banjir buruk di Semenanjung.

Katanya, rakyat negeri ini juga perlu mengambil peringatan mengenai kejadian banjir di kawasan tidak biasa dinaiki air seperti berlaku di banyak kawasan di beberapa negeri lain.

"Kita perlu buat perancangan berpindah ke kawasan tinggi terutama mereka yang tinggal di kawasan mudah banjir bagi menyelamatkan nyawa," katanya.

MetMalaysia meramalkan luruan monsun dengan membawa angin sejuk dari Siberia bermula hari ini yang dijangka mengakibatkan hujan berterusan terutama di kawasan pantai timur dan utara Sabah.

Berita Harian X