Ahad, 26 Disember 2021 | 5:10pm
Keadaan jalan raya dan hadapan rumah yang dipenuhi sampah dan barangan yang musnah akibat banjir ketika tinjauan di Taman Sri Muda Seksyen 25, Shah Alam. NSTP/Rohanis Shukri
Keadaan jalan raya dan hadapan rumah yang dipenuhi sampah dan barangan yang musnah akibat banjir ketika tinjauan di Taman Sri Muda Seksyen 25, Shah Alam. NSTP/Rohanis Shukri

Selangor buka 12 stesen pemindahan sementara sampah pukal

SHAH ALAM: Selangor membuka 12 stesen pemindahan sementara untuk menempatkan sampah pukal bagi mempercepatkan usaha pembersihan sampah pasca banjir di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan dan Pengangkutan Awam Selangor, Ng Sze Han, berkata kesemua 12 stesen berkenaan membabitkan empat pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA); Majlis Perbandaran Kajang (MPKj); Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) dan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ).

"Empat stesen dibuka di kawasan pentadbiran MBSA iaitu Seksyen 21, Seksyen 34, Kampung Lombong dan Seksyen 25; tiga di bawah MPKj iaitu Sungai Lui, Batu 14 Hulu Langat dan Nanding.

"Tiga stesen di MPSepang adalah di Taman Emas (Dengkil), Taman Lestari Mewah (Jenderam) serta Business Park, Bandar Baru Salak Tinggi manakala satu stesen di kawasan MBSJ iaitu di Bukit Lanchong.

"Kesemua stesen ini sedang digunakan secara optimum dengan lebih 50 mesin jentolak dan jengkaut beroperasi di stesen berkenaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sze Han memaklumkan kerajaan negeri turut mengucapkan terima kasih kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta kontraktor persendirian yang membantu operasi pembersihan sampah pasca banjir.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan negeri dimaklumkan ada sampah dibuang di kawasan awam termasuk di tepi jalan raya atau di kawasan yang tidak dizonkan sebagai stesen pemindahan.

Beliau berkata, ia secara tidak langsung akan menyukarkan kerja pembersihan yang mana pihak KDEB Waste Management (KDEBWM) atau PBT terpaksa membersihkan kawasan itu, seterusnya melambatkan operasi pembersihan sampah pasca banjir.

"Kerajaan negeri berharap semua pihak dapat bekerjasama untuk membuang sampah pasca banjir di stesen pemindahan berdekatan atau terus ke Tapak Pelupusan Sampah Tanjung Dua Belas, Kuala Langat dan Jeram, Kuala Selangor.

"Tiada yuran dikenakan di kedua-dua tapak pelupusan sampah ini bagi sampah pukal yang disebabkan bencana banjir," katanya.

Berita Harian X