Selasa, 21 Disember 2021 | 3:30pm
Adam Amsyar, 9, yang menghidap penyakit jantung terbalik gembira dapat berkunjung ke Taman Tema Legoland Malaysia, Iskandar Puteri, Johor- Foto NSTP/Nur Aisyah Mazalan
Adam Amsyar, 9, yang menghidap penyakit jantung terbalik gembira dapat berkunjung ke Taman Tema Legoland Malaysia, Iskandar Puteri, Johor- Foto NSTP/Nur Aisyah Mazalan

'Terima kasih TMJ'

PONTIAN: Pesakit jantung terbalik atau Mitral Valve Atresia, Mohd Adam Amsyar, 9, meluahkan kegembiraan apabila impian ke Legoland sebelum akhir hayatnya tercapai.

Mohd Adam Amsyar berkata, beliau tidak akan melupakan kenangan manis menjejakkan kaki di taman tema berkenaan bermula Sabtu hingga semalam, hasil tajaan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Katanya, dia bersama ayah, Abd Rahman Ahmad, 47, dan kakak, Irin Nadia, 11, ditaja selama tiga hari dua malam termasuk penginapan di Hotel Legoland.

"Seronok bila dapat pergi Legoland. Yang paling Adam suka apabila dapat mandi di taman air di Legoland.

"Terima kasih kepada TMJ (Tunku Mahkota Johor) yang beri peluang pada Adam pergi Legoland.

"Semalam, Adam turut dibawa melawat ke Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri. Ketika melawat stadium, Tunku Mahkota Johor tiba-tiba turun dari tingkat atas sebelum bertanya khabar dan berbual dengan Adam dan ayah," katanya ketika ditemui rumahnya di Parit Haji Ahamd, di sini, hari ini.

Khamis lalu, media melaporkan, kisah Mohd Adam, kanak-kanak berusia sembilan tahun di Kampung Parit Haji Ahmad, di sini, menderita penyakit jantung terbalik atau Mitral Valve Atresia, yang menyebabkannya sering sesak nafas serta keletihan.

Mitral Valve Atresia adalah kecacatan jantung kongenital yang amat jarang berlaku, di mana injap mitral jantung tidak dapat berfungsi dengan betul.

Sementara itu, bapanya, Abd Rahman, berkata beliau sekeluarga terharu dengan keprihatinan dan layanan mesra Tunku Ismail Ibrahim sepanjang tiga hari berada di Iskandar Puteri, di sini.

"Saya sangat berterima kasih kepada Tunku Ismail kerana menunaikan hajat Adam, malah terharu berikutan baginda menyatakan mahu membaik pulih rumah kediaman kami yang sudah uzur.

"Baginda berpesan supaya saya menjaga Adam baik-baik," katanya.

Dalam pada itu, Pasaraya Econsave turut tampil memberikan sumbangan pelbagai barang keperluan serta kelengkapan sekolah kepada Mohd Adam dan kakaknya.

Pengurus Econsave Cawangan Pontian, Fazinda Halina Kamal Fazuli, berkata sumbagan bernilai RM1,000 diharap dapat meredakan bebanan ditanggung keluarga Mohd Adam.

"Econsave hari ini tampil memberikan sumbangan barangan keperluan termasuk barangan elektrik, makanan selain barangan sekolah untuk Adam dan kakaknya.

"Kami bertanya apakah keperluan yang diperlukan daripada bapa Adam dan beliau memaklumkan tidak mampu membelikan pakaian dan kasut sekolah kepada dua anaknya. Kami bawakan keperluan sekolah hari ini khas untuk Adam dan kakaknya," katanya.

Berita Harian X