Selasa, 21 Disember 2021 | 11:28am
MAVMA sediakan khidmat rawat haiwan peliharaan terjejas akibat banjir.
MAVMA sediakan khidmat rawat haiwan peliharaan terjejas akibat banjir.

Khidmat rawat haiwan peliharaan percuma dekat Sri Muda

KUALA LUMPUR: Prihatin dengan musibah banjir, Persatuan Perubatan Veterinar Malaysia (MAVMA) tampil menghulurkan perkhidmatan rawatan kepada haiwan terkesan berikutan bencana berkenaan.

Pensyarah Fakulti Perubatan Veterinar Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Farina Mustaffa Kamal, berkata misi yang dijalin menerusi kerjasama MAVMA dan Persatuan Doktor Veterinar Haiwan Kesayangan Malaysia (MSAVA) itu dilaksanakan, mulai pagi tadi hingga 27 Disember ini.

Jelasnya, klinik veterinar bergerak ditempatkan di lokasi paling teruk terjejas akibat banjir, iaitu berdekatan Taman Sri Muda, Shah Alam, Selangor akan beroperasi pada jam 9 pagi hingga 6 petang.

"Orang awam boleh membawa haiwan milik sendiri atau haiwan terbiar terkesan dengan musibah banjir ke klinik veterinar bergerak ini.

"Haiwan seperti kucing dan anjing akan diperiksa serta diberikan rawatan oleh doktor veterinar berlesen secara percuma.

"Usaha ini mendapat sokongan doktor veterinar daripada pelbagai agensi dan klinik, malah kita menyalurkan sumbangan makanan haiwan serta keperluan peralatan perubatan lain.

"Koordinat lokasi penempatan misi bantuan kecemasan dan perubatan untuk haiwan adalah di 3.0209197998046875,101.53856658935547 iaitu kawasan parkir KFC/Pizza Hut Taman Sri Muda, Shah Alam," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Hujan luar biasa sejak Jumaat lalu dan berlarutan selama dua hari, selain fenomena air pasang besar menyebabkan beberapa kawasan di Selangor dibadai banjir paling teruk dalam tempoh 50 tahun.

Mengakui bahawa banyak haiwan terjejas akibat banjir, Farina berharap semua usaha dilaksanakan pihaknya berupaya membantu haiwan mendapat perhatian sewajarnya.

"Ini bagi memastikan haiwan juga menerima rawatan veterinar supaya sihat dan terbela," katanya.

Berita Harian X