Isnin, 20 Disember 2021 | 12:43pm
Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Kelantan, Said Sidup. Foto fail NSTP
Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Kelantan, Said Sidup. Foto fail NSTP

Tiada kes COVID-19 dikesan di PPS, Kelantan

KOTA BHARU: Tiada kes COVID-19 dikesan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Kelantan, berikutan saringan awal dijalankan sebelum memasuki pusat berkenaan.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan, Said Sidup, berkata beberapa kes positif COVID-19 yang dikesan di Gua Musang membabitkan mangsa banjir belum sempat memasuki PPS.

"Alhamdulillah tinjauan kita beberapa hari ini mendapati tiada kes COVID-19 dikesan di PPS kerana saringan awal dijalankan terhadap mangsa banjir di PPS.

"Semua mangsa banjir akan menjalani ujian swab selain sentiasa melakukan pemeriksaan suhu bagi mengelak penularan kes COVID-19.

"Bagi mangsa banjir yang positif COVID-19 di Gua Musang, mereka sudah dihantar ke Hospital Gua Musang," katanya ketika melawat PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Tinggi, di sini, hari ini.

PPS berkenaan menempatkan 219 mangsa daripada 63 keluarga selepas kediaman mereka dilanda banjir sejak kelmarin.

Mengulas lanjut, Said berkata, pihaknya menyediakan 20 PPS khas untuk mangsa banjir yang positif COVID-19 dan perlu menjalani kuarantin kendiri bagi membendung penularan wabak COVID-19.

Katanya, setakat ini PPS berkenaan belum menempatkan mangsa memandangkan tiada kes COVID-19 dilaporkan dan keadaan masih terkawal.

"Alhamdulillah sejak banjir melanda Kelantan, segala urusan dalam menangani mangsa banjir berjalan lancar dan tiada masalah berbangkit.

"Setakat ini, keperluan logistik serta barang makanan untuk mangsa banjir masih mencukupi selain pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di PPS juga memuaskan," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, enam mangsa banjir yang dikesan sebagai pesakit COVID-19 dipindahkan ke Hospital Gua Musang sehingga semalam.

Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Zaini Hussin laporkan berkata, kesemua mereka dikesan sebaik mahu berpindah ke PPS.

Katanya, petugas kesihatan melakukan ujian saringan dan mengesan mereka positif COVID-19 sebelum menghantar kesemuanya ke hospital untuk dikuarantin.

Berita Harian X