Rabu, 15 Disember 2021 | 8:00am
Foto hiasan
Foto hiasan

Institusi pendidikan di Sabah cetus kluster baharu COVID-19

KOTA KINABALU: Seramai 41 individu membabitkan pelajar dan kakitangan Universiti Malaysia Sabah (UMS) dijangkiti COVID-19 serta mencetuskan kluster baharu iaitu Kluster Puncak Ilmu.

Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata kluster yang dikenal pasti di Kota Kinabalu itu adalah satu lagi kluster di Sabah, membabitkan institusi pendidikan.

"Kes indeks kluster ini adalah pelajar lelaki berusia 22 tahun yang mengikuti pengajian di Fakulti Sumber Alam UMS dan tinggal di kolej kediaman.

"Kes indeks mula bergejala sejak 1 Disember kemudiannya, disahkan positif COVID-19 melalui saringan di Pusat Perubatan UMS pada 2 Disember lepas dan telah selesai menjalani kuarantin di Pusat Kuarantin Berisiko Rendah (PKRC) UMS.

"Saringan terhadap kontak kes mendapati 40 lagi kes positif terdiri daripada pelajar serta kakitangan UMS.

"Jumlah kumulatif bagi kluster ini ialah sebanyak 41 kes termasuk lima kes baharu. Semua kes telah diasingkan dan diberikan rawatan," katanya dalam satu kenyataan media, semalam.

Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II negeri, berkata jumlah kes harian COVID-19 semalam kekal mencatatkan sebanyak tiga angka.

"Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), jumlah kes positif baharu COVID-19 pada hari ini (semalam) adalah sebanyak 232 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 237,535 kes.

"Sebanyak enam kes kematian dilaporkan pada hari ini iaitu dua kes di Ranau manakala masing-masing satu kes di Keningau, Penampang, Semporna dan Tawau.

"Bilangan pesakit COVID-19 sembuh ialah 395 menjadikan jumlah kumulatif 228,585 orang.

"Ketika ini, 1,012 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 506 orang di hospital, 498 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam, tujuh orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS) dan seorang di fasiliti swasta," katanya.

Berita Harian X