X
Isnin, 13 Disember 2021 | 9:44pm
 - Foto hiasan
- Foto hiasan

Penternak bingung 7 kambing mati dikekah harimau

MARANG: Seorang penternak kambing di Kampung Bukit Kor dekat Rhu Rendang di sini, menanggung kerugian hampir RM14,000 apabila tujuh kambing miliknya mati akibat serangan harimau sejak awal bulan ini.

Ngah Abdul Ghani, 53, berkata serangan pertama berlaku pada 2 Disember, seterusnya pada Rabu (8 Disember) dan yang terbaru pada Jumaat lalu.

"Terkejut sangat bila tengok tiga ekor kambing mati bergelimpangan dengan kesan gigitan di leher pada kejadian pertama.

"Memang ada nampak kesan tapak kaki binatang yang menyerang di sekeliling kandang, cuma saya tak pasti binatang apa.

"Saya ingatkan serangan setakat itu sahaja, rupanya berlaku lagi menyebabkan saya membuat laporan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Terengganu untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim, ketika dihubungi berkata Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) membuat laporan terperinci mengenai perkara itu.

"Penternak yang ditimpa musibah seperti ini boleh mendapat bantuan melalui Tabung Bencana Pertanian, jumlahnya akan dimuktamadkan dalam mesyuarat kelak.

"Walaupun bayarannya tidak banyak, sekurang-kurangnya boleh memberi motivasi untuk penternak meneruskan usahanya.

"PERHILITAN juga sudah memasang perangkap di sekitar kawasan itu dan kami berharap harimau berkenaan dapat ditangkap secepat mungkin bagi mengelak serangan berulang," katanya. – BERNAMA

Berita Harian X