Isnin, 13 Disember 2021 | 1:51pm
Perangkap dipasang PERHILITAN Kelantan untuk menangkap dua harimau belang di Kampung Remau, Pos Bihai, Gua Musang. - Foto PERHILITAN
Perangkap dipasang PERHILITAN Kelantan untuk menangkap dua harimau belang di Kampung Remau, Pos Bihai, Gua Musang. - Foto PERHILITAN

PERHILITAN pasang perangkap tangkap 2 harimau belang

GUA MUSANG: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Kelantan memasang perangkap bagi menangkap dua harimau belang yang dipercayai berkeliaran di Kampung Remau, Pos Bihai pada Jumaat lalu.

Pengarahnya, Mohamad Hafid Rohani, berkata pihaknya menerima aduan penduduk mengenai kehadiran dua harimau belang di kampung berkenaan pada jam 5 petang bersama beberapa keping gambar serta video haiwan liar itu melalui aplikasi WhatsApp.

"Kami jalankan siasatan awal, buat pemantauan serta memasang kamera perangkap di lokasi kejadian pada Sabtu lalu. Sejak semalam, lapan kakitangan memulakan operasi dan pemasangan dua perangkap harimau dikenali 'Perangkap Wahab' guna kambing hidup bagi mengumpan harimau berkenaan," katanya hari ini.

Mohamad Hafid berkata, operasi tangkapan perlu dilakukan berikutan kedua-dua harimau belang berkenaan masih berkeliaran di sekitar kawasan kampung kerana terdapat sumber makanan iaitu ternakan yang mudah diperoleh.

"Berdasarkan imej dan video dirakam penduduk, fizikal kedua-dua harimau ini baik, tiada sebarang kecederaan luaran. Namun tidak dapat dipastikan sama ada haiwan ini dijangkiti virus 'canine distemper' seperti Awang Besul, harimau belang ditangkap di Kampung Besul Lama, Bukit Besi, Dungun, Terengganu pada 19 Julai 2019.

"Ini kerana kedua-dua harimau itu menunjukkan tingkah laku tidak takut kepada manusia. Bagi memastikan keselamatan penduduk kampung Orang Asli Kampung Remau, mereka sudah diminta berpindah sementara ke kampung berhampiran, Kampung Tendrik, Pos Bihai.

"Laluan masuk ke Kampung Remau juga ditutup sementara bagi membolehkan operasi tangkapan lancar tanpa gangguan. Terdapat lebih kurang tujuh keluarga di Kampung Remau dan perjalanan ke situ ambil masa lebih kurang tiga jam bergantung faktor cuaca serta jalan yang hanya boleh dilalui pacuan empat roda," katanya.

Mohamad Hafid berkata, pihaknya akan menjalankan pemantauan secara berterusan di lokasi sehingga operasi berjaya selain penggiliran tugas kakitangan juga akan dilaksanakan bagi memastikan operasi tangkapan berjalan lancar.

"Orang ramai disarankan lebih berhati-hati dan berwaspada jika terserempak hidupan liar. Sebarang aduan serta maklumat berkenaan hidupan liar boleh disalurkan kepada PERHILITAN melalui hotline 1-800-88-5151 atau e-aduan di laman web www.wildlife.gov.my," katanya.

Mengikut rekod, pada 15 Julai lalu, PERHILITAN berjaya menangkap seekor harimau belang di Kampung Badak, Pos Bihai, Gua Musang selepas haiwan itu menyerang seorang penduduk kampung berkenaan.

"Harimau belang diberi gelaran 'Syamilla Bihai' itu ditempatkan di Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) untuk rawatan setelah mengalami beberapa kecederaan serius akibat pergelutan dengan mangsa serangan," katanya.

Berita Harian X