IPOH: Hujan lebat menyebabkan kediaman di beberapa lokasi sekitar kawasan perumahan Taman Chempaka, di sini, dimasuki air susulan banjir kilat yang melanda, malam tadi.
Berdasarkan beberapa gambar mengenainya yang disebarkan di media sosial, beberapa kenderaan yang diletakkan di kawasan terbabit kelihatan turut terperangkap dalam takungan air.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, berkata paras kenaikan air menjangkau setinggi 0.6 meter.
Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 9.07 malam sebelum anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP ) Ipoh diarahkan ke lokasi.
Setakat jam 12.45 tengah malam, pasukan bomba masih membuat pemantauan di kawasan berkenaan dengan paras air juga didapati semakin surut.
Katanya, tiada mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) setakat ini.
Difahamkan, kejadian banjir di kawasan perumahan itu kali ini membabitkan di Persiaran Cempaka Sari 7 serta 5.