Selasa, 7 Disember 2021 | 4:11pm

Tanam 1,500 pokok hutan di bekas kebun Musang King haram

RAUB: Pejabat Hutan Daerah (PHD) Raub menanam sebanyak 1,500 pokok hutan di kawasan bekas kebun durian Musang King yang ditanam secara haram dalam Hutan Simpan Teras, di sini, hari ini.

Kawasan ceroboh seluas empat hektar itu ditanam dengan pokok hutan spesies Meranti Tembaga dan Merawan Siput Jantan.

Pegawai PHD Raub, Shahril Mohamad, berkata usaha menghijaukan semula kawasan terbabit terus dilakukan hari ini, selepas selesai menebang 600 pokok durian Musang King dalam Operasi Teras semalam.

Beliau berkata, aktiviti menanam yang disertai lebih 45 kakitangan PHD Raub, PHD Bentong, PHD Lipis dan Pejabat Pembangunan Hutan Pahang Barat secara gotong-royong itu akan mengambil masa antara dua hingga tiga hari.

Katanya, kawasan bukit dan berlereng antara cabaran yang dihadapi kakitangan terbabit, sebelum pokok berusia antara setahun hingga setahun lima bulan dipindahkan secara berperingkat.

"Aktiviti menanam pokok hutan perlu dilakukan segera kerana musim hujan kini dapat mempercepatkan tumbesaran pokok selain tahap kesuburan bertambah.

"Pokok hutan yang ditanam dapat mengurangkan berlaku kejadian hakisan di kawasan bukit dan berteres," katanya yang turut sama menyertai program menanam itu.

Menerusi Operasi Teras semalam sebanyak 600 pokok durian Musang King berusia antara setahun hingga dua tahun yang ditanam secara haram dalam Hutan Simpan Teras, dimusnahkan.

Shahril berkata, pihaknya akan terus memantau kawasan berkenaan secara berterusan dalam memastikan ia tidak diceroboh buat kali kedua dengan mengusahakan projek pertanian lain.

Sementara itu, Penolong Pengarah Pejabat Pembangunan Hutan Pahang Barat Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Wan Ghazali Wan Ali, berkata pihaknya bertanggungjawab membekalkan anak pokok balak untuk ditanam di kawasan Hutan Simpan Teras yang diceroboh.

Katanya, tapak semaian Pejabat Pembangunan Hutan Pahang Barat, Rotan Tunggal, di sini, menjadi pembekal utama bekalan anak pokok setiap kali program penghijauan semula kawasan ceroboh di negeri ini.

Kakitangan Pejabat Hutan Daerah (PHD) Raub menanam pokok balak di kawasan ceroboh di Hutan Simpan Teras. NSTP/Mohd Rafi Mamat
Kakitangan Pejabat Hutan Daerah (PHD) Raub menanam pokok balak di kawasan ceroboh di Hutan Simpan Teras. NSTP/Mohd Rafi Mamat
Berita Harian X