Selasa, 7 Disember 2021 | 2:17pm
Seorang pengurus bank maut selepas kenderaan dipandunya melanggar lori yang diletak di tepi jalan depan sebuah kilang di Kilometer 22.5, Jalan Tampin-Gemas, awal pagi tadi. - Foto Bomba
Seorang pengurus bank maut selepas kenderaan dipandunya melanggar lori yang diletak di tepi jalan depan sebuah kilang di Kilometer 22.5, Jalan Tampin-Gemas, awal pagi tadi. - Foto Bomba

Pengurus bank maut, kenderaan rempuh lori

GEMENCHEH: Seorang pengurus bank maut selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori di Kilometer 22.5, Jalan Tampin-Gemas, di hadapan kilang Gemencheh Granite, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 3 pagi itu, N Arumugam, 40, dalam perjalanan dari arah Tampin menghala ke Gemas sebelum dikatakan terbabas ketika tiba di lokasi kejadian.

Timbalan Ketua Polis Daerah Tampin, Deputi Superintendan Amiruddien Sariman, berkata siasatan awal mendapati mangsa yang memandu kereta jenis PROTON Persona dipercayai hilang kawalan.

"Kejadian itu mengakibatkan kereta mangsa terbabas ke bahu jalan sebelah kiri laluannya sebelum melanggar hadapan sebuah lori yang diletakkan di bahu jalan.

"Mangsa yang bekerja sebagai pengurus sebuah bank di Serdang, Selangor cedera parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Amiruddien berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tampin untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X