Isnin, 6 Disember 2021 | 5:55pm

DUN Selangor lulus turun had umur ahli dewan kepada 18

SHAH ALAM: Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini meluluskan Enakmen Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor (Pindaan) 2021 bagi menurunkan had umur seseorang warganegara yang layak menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada 21 tahun kepada 18 tahun.

Pindaan terhadap Perkara 63 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 itu diluluskan selepas dibahas oleh 10 ADUN pada sesi persidangan petang tadi.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari ketika mencadangkan Rang Undang-Undang (RUU) berkenaan berkata pindaan tersebut adalah bagi mengikut Perkara 47 Perlembagaan Persekutuan yang dipinda melalui Akta Perlembagaan (Pindaan) 2019 (Akta A1603) untuk menurunkan had umur layak bertanding daripada 21 ke 18 tahun bagi calon Ahli Dewan Rakyat.

Katanya, melalui Akta A1603 itu juga, Seksyen 5 Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan telah dipinda dengan menurunkan had umur kelayakan calon bagi Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada 21 ke 18 tahun.

Beliau berkata sekiranya kerajaan negeri tidak mengambil tindakan meminda Undang-Undang Tubuh bagi tujuan menguatkuasakan pindaan berkaitan had umur calon DUN tersebut, suatu undang-undang boleh digubal Parlimen bagi penguatkuasaan perkara itu.

"Berdasarkan peruntukan Perkara 71 Perlembagaan Persekutuan, suatu undang-undang boleh digubal oleh Parlimen bagi menguatkuasakan peruntukan berhubung had umur ADUN tersebut atau menghapuskan mana-mana peruntukan dalam Undang-Undang Tubuh negeri yang tidak selaras dengan kehendak Seksyen 5 Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Sementara itu, Speaker DUN Selangor, Ng Suee Lim berkata, kelulusan enakmen berkenaan adalah satu lembaran baru untuk dewan negeri ini yang mana ia adalah bentuk pengiktirafan kepada anak muda.

"Selangor sudah siap sedia nak pastikan calon anak muda dari umur 18 boleh bertanding pada pilihan raya akan datang.

"Kita tahu kekuatan, inovatif dan kreatif anak muda akan menjadi pemangkin kepada kemajuan Selangor pada masa akan datang," katanya.

Berita Harian X