Isnin, 6 Disember 2021 | 1:50pm
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

576.98 hektar tanah wakaf didaftar atas nama MAIS

SHAH ALAM: Sejumlah 576.98 hektar tanah wakaf di negeri ini sudah didaftarkan atas nama Majlis Agama Islam Islam Selangor (MAIS) sehingga Oktober 2021.

MAIS adalah pemegang amanah tunggal harta wakaf mengikut Enakmen Wakaf (Negeri Selangor) 2015.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal negeri, Mohd Zawawi Ahmad Mughni, berkata daripada jumlah itu, 92.24 peratus tanah wakaf itu sudah dibangunkan dengan tujuan tertentu atas niat pewakaf yang dikategorikan sebagai Wakaf Khas.

Katanya, tanah berkenaan dibangunkan untuk institusi keagamaan, pendidikan dan kebajikan, antaranya masjid, surau, tapak perkuburan, sekolah, pusat tahfiz, rumah anak yatim, rumah warga emas dan sebagainya.

"Sejumlah 6.69 peratus daripada hartanah wakaf itu juga dirancang untuk dimanfaat atau dibangunkan dengan cadangan projek pembangunan yang mampu memberi nilai tambah dan meningkatkan ekonomi ummah seperti projek pembangunan perumahan, pembangunan komersial dan pembangunan bercampur.

"Selain itu, sejumlah 1.07 peratus tanah wakaf yang tidak dapat dimanfaat atau dibangunkan disebabkan faktor keluasan yang kecil, berkongsi geran serta kurang memberikan nilai ekonomi, akan dilepaskan dan dijual melalui kaedah ditetapkan," katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.

Beliau menjelaskan demikian ketika menjawab soalan Haniza Mohamed Talha (BERSATU-Lembah Jaya) mengenai keluasan tanah wakaf di Selangor serta apa yang dilakukan terhadap tanah berkenaan.

Berita Harian X