Isnin, 6 Disember 2021 | 7:20am
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman (kanan) menyerahkan borang dermasiswa kepada Mohd Izad Haikal. - Foto NSTP/Mohd Rafi Mamat
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman (kanan) menyerahkan borang dermasiswa kepada Mohd Izad Haikal. - Foto NSTP/Mohd Rafi Mamat

MUIP sedia RM11.8 juta kepada 13,548 pelajar

KUANTAN: Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) menyalurkan RM11.8 juta kepada 13,548 penuntut anak Pahang yang berjaya melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan dan luar negara tahun ini.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Dr Asmadi Abdul Rahman, berkata dermasiswa itu diperuntukkan kepada penuntut kolej dan universiti.

Katanya, pelajar yang diterima melanjutkan pengajian perlu membuat permohonan bagi mendapat bantuan dermasiswa dengan mengisi borang yang disediakan MUIP.

"Bantuan dermasiswa turut membabitkan bantuan awal kemasukan ke pusat pengajian tinggi dalam dan luar negara, ia bagi meringankan beban keluarga untuk membayar yurun kemasukan ke IPT.

"Bantuan dermasiswa hanya layak diterima oleh pelajar Islam sahaja yang berjaya melanjutkan pengajian dalam pelbagai jurusan di peringkat diploma hingga doktor falsafah (PhD)," katanya, di sini semalam.

Beliau berkata pelajar yang menyambung pengajian di IPT tempatan layak menerima antara RM500 hingga RM3,000.

Asmadi berkata, mereka yang menyambung pengajian dalam bidang agama di Mesir, Jordan, Maghribi, Yaman, Syria, Afrika dan Indonesia layak menerima antara RM1,200 hingga RM6,000.

"MUIP akan terus menyediakan bantuan dermasiswa kepada pelajar anak Pahang dalam usaha meringankan beban mereka," katanya.

Berita Harian X