Ahad, 5 Disember 2021 | 11:02am
Penduduk di kawasan tebing Sungai Golok disaran sentiasa bersedia walaupun paras air sungai menunjukkan trend menurun. - Foto fail NSTP
Penduduk di kawasan tebing Sungai Golok disaran sentiasa bersedia walaupun paras air sungai menunjukkan trend menurun. - Foto fail NSTP

Paras Sungai Golok masih di tahap amaran

RANTAU PANJANG: Paras air Sungai Golok masih di tahap amaran dengan bacaan 8.2 meter setakat jam 8.15 pagi hari ini, namun trend air menurun.

Pusat pemindahan sementara (PPS) di Kelantan juga masih kekal hanya sebuah dibuka iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Gual To'Deh dengan bilangan mangsa seramai 33 orang membabitkan enam keluarga.

Salah seorang penduduk di tebing Sungai Golok, Fauziah Ghani, 54, ketika dihubungi memberitahu, keadaan air sungai dilihat semakin menurun sejak malam tadi manakala cuaca agak cerah sejak tengah hari, semalam.

"Kami sekeluarga menarik nafas lega kerana cuaca panas sejak semalam, pagi ini kelihatan sedikit mendung namun tidak hujan. Keadaan semasa mungkin antara faktor utama paras air tidak meningkat.

"Bagaimanapun, segala persediaan sudah dilakukan jika banjir melanda termasuk mengangkat barangan elektrik dan dokumen penting ke tempat selamat kerana kediaman kami biasa dinaiki air sehingga 0.4 meter di dalam rumah.

"Sebenarnya, kali ini agak berlainan dengan tahun sebelumnya kerana belum banjir," katanya yang hampir setiap tahun berhadapan dengan bah berikutan rumahnya hanya 50 meter dari tebing Sungai Golok.

Fauziah berkata, lokasi yang dilaporkan banjir hanyalah kawasan rendah di pendalaman tetapi bukan di tebing Sungai Golok sekitar pekan Rantau Panjang.

Ahmad Daud, 32, pula mengharapkan agar tiada banjir besar berlaku tahun ini kerana dia dan keluarga mahu mengelak daripada berpindah ke PPS.

"Tetapi ia bergantung kepada keadaan air, jika dilihat membahayakan sudah tentu saya mengambil inisiatif awal berpindah demi keselamatan bersama.

"Bukan apa, apabila berhadapan dengan wabak COVID-19, saya merasa takut untuk berada di tempat orang ramai namun sedar pelbagai langkah keselamatan sudah diambil pihak bertanggungjawab untuk membantu mangsa banjir dengan sebaik mungkin," katanya.

Berita Harian X