Sabtu, 4 Disember 2021 | 2:07pm
Penduduk terpaksa meredah banjir termenung di Kampung Kedai Lalat, Kota Bharu. - NSTP/SITI ROHANA IDRIS
Penduduk terpaksa meredah banjir termenung di Kampung Kedai Lalat, Kota Bharu. - NSTP/SITI ROHANA IDRIS

10 keluarga terperangkap 'banjir termenung'

KOTA BHARU: Setiap kali tiba musim tengkujuh, lebih 30 penduduk di Kampung Kedai Lalat, di sini, terpaksa berdepan masalah 'banjir termenung' susulan air bertakung kerana tiada saliran keluar.

Isu dialami sejak sekian lama itu didakwa semakin membimbangkan sejak dua tahun lalu berikutan banyak pembinaan rumah, sekali gus menyekat sistem perparitan sehingga menyebabkan 10 keluarga di kampung itu terperangkap.

Penduduk, Lukman Salleh, 64, berkata setiap kali hujan dalam tempoh lama atau berterusan, air akan memenuhi kampung itu menyebabkan pergerakan penduduk menjadi sukar kerana perlu meredah banjir mencecah 0.3 meter (m).

"Bukan setakat halaman, malah air juga masuk ke dalam rumah dan mengambil masa kira-kira seminggu untuk surut.

"Minggu lalu, saya terpaksa mengeluarkan kos sendiri mengupah orang mengorek tanah untuk mengalirkan air bagi mengurangkan paras air yang bergenang," katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Tinjauan BH turut mendapati air masih berada pada paras 0.3m di beberapa tempat, manakala beberapa penduduk dilihat meredah air dengan berjalan dan menunggang motosikal.

Seorang lagi penduduk, Saripah Saleh, 49, berkata sejak dua minggu lalu, rumahnya sudah tiga kali dimasuki air yang menyebabkan mereka sekeluarga terpaksa bergotong-royong melakukan kerja pembersihan.

Malah, beliau berkata, kenderaan penduduk kampung juga terpaksa ditumpangkan di kediaman jiran yang terletak di tempat selamat, selain ada yang diparkir di tepi jalan tanpa pengawasan.

Sementara itu, Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kota Jembal, Azharuddin Mat, mendakwa aduan sudah beberapa kali dibuat kepada pemimpin setempat, tetapi tiada maklum balas hingga kini.

Beliau berharap agar masalah itu yang sudah sekian lama membebankan penduduk kampung terbabit, dapat diselesaikan dengan segera.

Berita Harian X