Sabtu, 4 Disember 2021 | 10:46am
Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor. - NSTP/ARKIB
Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor. - NSTP/ARKIB

Sabah peroleh perkongsian hasil lebih besar sektor O&G

KOTA KINABALU: Sabah bakal mendapat perkongsian hasil yang lebih besar selain penyertaan dan penguasaan yang lebih luas dalam sektor minyak dan gas (O&G) selepas rundingan Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) dengan kerajaan Pusat dan PETRONAS selesai.

Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor, berkata rundingan itu berjaya dimuktamadkan selepas ketiga-tiga pihak mencapai persefahaman dan persetujuan mengenai perkara yang dituntut Sabah, baru-baru ini.

"Sukacita saya memaklumkan bahawa rundingan di antara kerajaan negeri, kerajaan persekutuan dan PETRONAS bagi membincangkan Perjanjian Kerjasama Komersial atau Commercial Collaboration Agreement (CCA) berjaya dimuktamadkan.

"Persefahaman dan persetujuan dicapai di antara semua pihak sekali gus memastikan perjanjian CCA akan dapat ditandatangani dalam tempoh terdekat," katanya ketika membentangkan Belanjawan Sabah 2022 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, petang semalam.

Hajiji yang juga Menteri Kewangan negeri, berkata perkembangan itu secara tidak langsung menamatkan masalah legasi berkaitan Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA 1974) yang menimbulkan isu berkaitan minyak dan gas Sabah sejak sekian lama.

"Insya-Allah perjanjian ini akan membawa nilai dan makna yang lebih besar kepada Sabah. Sabah akan mendapatkan perkongsian hasil yang lebih besar, penyertaan dan penguasaan yang lebih luas dalam hal berkaitan minyak dan gas," katanya.

Hajiji berkata, kerajaan negeri dan PETRONAS juga membuat kajian bersama bagi menentukan nilai tambah industri gas yang boleh memberikan pulangan ekonomi jangka panjang kepada Sabah.

Antaranya, beliau berkata, kerajaan negeri bersetuju agar PETRONAS membina kemudahan gas asli cecair (LNG) berdasarkan konsep 'nearshore' yang pertama di negeri ini di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP), selain mendapat peruntukan gas untuk menyokong industri hiliran di negeri ini.

"Kita percaya bahawa isu berhubung hak dan kepentingan negeri yang melingkari hubungan kerjasama di antara kerajaan negeri dan Persekutuan selama ini akan dapat ditangani melalui perundingan dan muafakat atas semangat Keluarga Malaysia," katanya.

Sementara itu, katanya, kerajaan negeri berkeyakinan tinggi kerajaan Persekutuan memahami keperluan dan tuntutan pembangunan negeri dan rakyat Sabah yang menjadi asas meneruskan perundingan melalui pelbagai pelantar di semua peringkat.

Hal itu, katanya, jelas menerusi langkah kerajaan Pusat meletakkan komitmen untuk melonjakkan pembangunan Sabah dan menyelesaikan isu tertangguh berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).

"Kerajaan negeri mengalu-alukan komitmen kerajaan Persekutuan untuk meneruskan siri perundingan melalui Majlis Khas MA63. Pelbagai status kemajuan berjaya dicapai dan kita akan terus memantau dengan teliti untuk memastikan hak dan kepentingan negeri dapat ditunaikan," katanya.

Berita Harian X