Sabtu, 4 Disember 2021 | 10:30am
Beberapa penduduk Taman Bukit Kempas membantah tapak pelupusan sampah haram di kawasan petempatan mereka. -NSTP/MARY VICTORIA DASS
Beberapa penduduk Taman Bukit Kempas membantah tapak pelupusan sampah haram di kawasan petempatan mereka. -NSTP/MARY VICTORIA DASS

Penduduk dakwa 6 tahun hidu udara tercemar

JOHOR BAHRU: Bagaikan tiada kesudahan isu pencemaran udara di Taman Bukit Kempas di sini yang didakwa berlarutan sejak enam tahun lalu, dipercayai akibat kegiatan pembakaran terbuka.

Penduduk, Mokhtar Ali, 60, berkata kegiatan pembuangan dan pembakaran sampah dipercayai dilakukan pada waktu malam sejak 2015 sehingga menjejaskan kesihatan penduduk sekitar.

"Pernah berlaku kebakaran besar di tapak berkenaan pada 2018 dan ketika itu pelbagai agensi melakukan pemantauan dan kegiatan pembakaran sampah dihentikan sementara. Bagaimanapun pencerobohan dan pembakaran terbuka di tapak berkenaan masih berlarutan hingga mengundang kebimbangan ramai," katanya.

Sementara itu, Rozina Abd Razak, 50, berkata, pencemaran asap akibat pembakaran terbuka menjejaskan kesihatan penduduk terutama kanak-kanak dan warga emas.

"Sehingga kini kami menghidu bau meloyakan hingga kerap batuk setiap hari. Kami khuatir ia membawa permasalahan lebih serius pada masa depan dan berharap pihak berkuasa mengambil tindakan sesuai," katanya.

Pengerusi Persatuan Green Earth Society, P Siva Kumar berkata, pemantauan dilakukan pihaknya mendapati tapak berkenaan tercemar dengan sampah sarap bukan daripada penduduk sekitar, sebaliknya dipercayai dibuang oleh pihak tidak bertanggungjawab.

"Penduduk khuatir sampah dibuang dan dibakar adalah sampah industri yang mengandungi sisa kimia. Kami akan berusaha membantu penduduk dengan menyalurkan permasalahan berkenaan kepada agensi berkaitan bagi tindakan lanjut," katanya ketika melakukan tinjauan di lokasi itu, semalam.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Johor, Dr Mohd Famey Yusoff berkata, siasatan pihaknya mendapati lokasi terbabit dalam tempat pembuangan sampah secara haram.

"Pencegahan adalah lebih baik daripada mengubati, sekiranya tapak berkenaan tidak wujud, tidak wujud masalah pembakaran terbuka. Agensi berkaitan perlu ambil tindakan," katanya ketika dihubungi.

Berita Harian X